SHAH ALAM: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad telah mengarahkan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Datuk Hakimah Mohd Yusoff untuk segera menyelaras bantuan Musa'adah jabatan itu kepada mangsa banjir di Baling, Kedah.

Beliau berkata, selain Jakim, agensi-agensi hal ehwal Islam di bawah seliaannya juga turut diarah turun ke lapangan bagi membantu pihak berkuasa negeri itu.

“Saya mengikuti laporan media yang melaporkan kejadian banjir lumpur melanda beberapa kawasan di daerah Baling, Kedah.

“Dari lubuk hati yang dalam, saya berasa amat dukacita dan bersimpati dengan para penduduk yang terlibat dengan ujian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada malam Isnin.

Idris dalam masa sama turut mendoakan semua pihak yang terkesan dengan bencana alam itu agar tabah menerima ujian ini.

“Saya menyeru seluruh masyarakat termasuk para jemaah haji di Makkah bersama-sama mendoakan keselamatan dan kesejahteraan buat negara kita,” katanya.

Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut memaklumkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah telah dikerah bagi membantu mangsa banjir kilat di daerah Baling, Kedah susulan hujan lebat di kawasan berkenaan selama kira-kira satu jam petang tadi.

Menurutnya, bantuan lori dan bot penyelamat dari JBPM Perak juga telah digerakkan ke lokasi kejadian.

“Bomba sedang fokus operasi menyelamat di SMA Yayasan Khairiah, Baling kerana difahamkan ada kemungkinan pelajar terperangkap di sana.

“Operasi menyelamat masih lagi berjalan sehingga kini. Sama-sama doakan semoga mangsa yang terlibat berada dalam keadaan yang selamat,” katanya.

BACA: Baling dilanda banjir, air Sungai Kupang melimpah, batang kayu 'singgah' depan rumah

BACA: Banjir di Baling: 3 sekeluarga hilang dihanyut kepala air

BACA: Banjir di Baling: Lebih 11 kampung terjejas, 3 PPS dibuka

Sinar Harian pada Isnin melaporkan JBPM Kedah berjaya menyelamatkan 55 mangsa banjir selepas kediaman mereka dilanda banjir kilat akibat hujan lebat selama tiga jam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, kesemua mangsa terlibat dipindahkan selepas bomba menerima panggilan tentang kejadian banjir melibatkan beberapa kampung di Baling kira-kira jam 5.31 petang. - Sinar Harian