ABU DHABI: Emiriah Arab Bersatu (UAE) masih bergelut dalam proses pemulihan selepas dilanda ribut dan banjir buruk yang menyebabkan sebahagian besar aktiviti negara terhenti.

CNA melaporkan, di Dubai, operasi di lapangan terbang dan hab perjalanan utama kekal terganggu selepas ribut melanda Selasa lalu yang membanjiri landasan, mengakibatkan lencongan, kelewatan dan pembatalan penerbangan.

Bagaimanapun, pihak lapangan terbang itu berkata, mereka menyambung semula operasi dan menerima penerbangan masuk di Terminal 1 yang digunakan oleh syarikat penerbangan asing, tetapi penerbangan itu terus ditangguhkan dan terganggu.

Emirates, satu-satunya syarikat penerbangan terbesar di lapangan terbang itu berkata, mereka menyambung semula daftar masuk penumpang di Dubai pada pukul 9 pagi (waktu tempatan) pada Khamis.

Pihak berkuasa di lapangan terbang bergelut untuk mendapatkan makanan kepada penumpang yang terkandas dengan jalan berhampiran disekat oleh banjir dan kerana kesesakan, akses terhad kepada mereka yang mengesahkan tempahan.

Ribut turut melanda negara jiran, Oman pada Ahad lalu yang membanjiri jalan raya dan menyebabkan kesesakan berjam-jam ketika air hujan turut menenggelamkan rumah.

Seorang dilaporkan maut di UAE dan 20 di Oman.

Pihak berkuasa berkata, banjir memerangkap penduduk dalam lalu lintas, pejabat dan rumah ketika UAE merekodkan hujan paling lebat dalam tempoh 75 tahun.

Ia turut memaklumkan, kakitangan kerajaan dan pelajar dinasihat untuk tinggal di rumah sementara menunggu jalan yang ditenggelami air dibersihkan.

Pakar iklim berkata, peningkatan suhu yang disebabkan oleh perubahan iklim membawa kepada kejadian cuaca yang lebih ekstrem di seluruh dunia, seperti ribut yang melanda UAE dan Oman.

Seorang saintis iklim di Imperial College London, Colleen Colja berkata, kemungkinan ribut itu disebabkan oleh perubahan iklim kerana terdapat lebih banyak lembapan yang tersedia di ruang udara untuk mana-mana sistem ribut.

Penyelidik menjangkakan bahawa perubahan iklim akan membawa kepada peningkatan suhu, peningkatan kelembapan dan risiko banjir yang lebih besar di bahagian rantau teluk.

Masalah ini boleh menjadi lebih teruk di negara seperti UAE di mana terdapat kekurangan infrastruktur saliran untuk menghadapi hujan lebat.

Agensi kerajaan UAE yang menyelia pembenihan awan, proses memanipulasi awan untuk meningkatkan hujan, menafikan bahawa sebarang operasi sedemikian berlaku sebelum ribut.

Presiden UAE, Sheikh Mohammed Zayed al Nahyan mengarahkan pihak berkuasa menilai kerosakan akibat ribut tersebut.