Empat sahabat karib yang menjadi mangsa banjir di bandar ini bertekad untuk 'berteduh' di dalam kereta masing-masing dek bimbang paras air terus naik.

Siti Mariah Ab.Majid, 28, yang bekerja di sebuah agensi pelancongan, berkata beliau dan tiga rakannya mengambil keputusan untuk tidur di dalam kereta masing-masing di tempat letak kereta Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan.

"Kami tiada pilihan selain tidur di dalam kereta apabila kehabisan wang tunai kerana mesin ATM tidak berfungsi dan semua hotel telahpun penuh sejak beberapa hari lepas," katanya.

Siti Mariah berkata selain mereka berempat, terdapat beberapa warga bandar itu yang turut berlindung di dalam kenderaan masing-masing di kawasan letak kereta tersebut.

"Walaupun ketakutan dan kadang kala menangis, saya kuatkan diri untuk tempuhi bencana ini," kata Siti Mariah yang berasal dari Pulau Chondong dekat Machang.

Siti Mariah berkata beliau dan rakannya telah empat hari tidak mandi dan hanya mencuci muka berbekalkan sebotol air mineral.

"Setakat hari ini ada beberapa kedai makan masih menjual makanan namun saya bimbang apabila pemilik kedai makan memberitahu mereka akan tutup kedai tengah hari ini.

"Sekiranya itu berlaku saya tidak tahu bagaimana untuk mencari makanan bagi mengalas perut hari ini," katanya.

Lebih malang, Siti Mariah berkata beliau kehilangan dompet dan pengenalan diri dua hari lepas ketika menumpang tidur di surau Pasaraya Mydin Kubang Kerian.

"Mujur ada rakan yang sudi membantu namun hati saya masih risau dengan keselamatan mak dan ayah yang difahamkan kini berada di pusat pemindahan banjir Sekolah Kebangsaan Pangkal Nering, Pulai Chondong," katanya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa banjir di Kota Bharu, Shira Che Zakaria, 26, berkata beliau juga terpaksa tidur di dalam kereta miliknya kerana tiada pilihan.

Penjawat awam itu berkata beliau reda dengan ujian yang menimpa dirinya dan berharap air akan semakin surut dan pihak berwajib tidak terlepas pandang dalam membuat agihan bantuan banjir kepada warga Kota Bharu.

"Saya faham kesukaran yang dialami pihak berwajib namun kami di sini telah kehabisan wang tunai untuk membeli makanan dan minuman... saya berdoa agar semua mangsa banjir selamat," katanya.

Shira berkata air di Kota Bharu tiada tanda untuk surut dan beliau dan rakannya bercadang untuk berpindah ke tempat lain untuk mendapatkan tempat perlindungan serta makanan.