Banjir Hatyai: 310 rakyat Malaysia dibawa keluar pasukan sukarelawan Kedah

Kesemua mereka yang menaiki tiga treler dibawa ke bandar Danok berhampiran sempadan Malaysia-Thailand. - Gambar/ FB MTL Rescue Team
ALOR SETAR: Sebanyak 310 warga Malaysia yang terkandas akibat banjir di Hatyai, Thailand sedang dibawa keluar dari bandar itu dengan bantuan pasukan sukarelawan Malaysia.
Pengerusi Pasukan Bomba Sukarela Sungai Petani Leong Beng Tat berkata kesemua mereka menaiki tiga treler dan dibawa ke bandar Danok berhampiran sempadan Malaysia-Thailand.
"Bagaimanapun, perjalanan kami agak perlahan kerana ramai penumpang dan keadaan jalan yang masih ditenggelami banjir di beberapa kawasan.
"Selepas menghantar warga Malaysia itu ke Danok, treler berkenaan akan kembali semula ke Hatyai untuk mengambil rakyat Malaysia yang lain, perjalanan ulang-alik ini mengambil masa empat jam," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata pagi tadi pihaknya menerima lebih 1,000 panggilan telefon daripada warga Malaysia meminta bantuan untuk memindahkan mereka atau membawa mereka keluar dari kawasan banjir.
Leong berkata keadaan banjir di Hatyai masih kritikal dengan paras air di sesetengah kawasan mencecah 1.5 meter dan menyukarkan operasi menyelamat warga Malaysia yang terkandas.
Beliau berkata misi membawa pulang warga Malaysia akan diteruskan sehingga selesai walaupun pihaknya berdepan pelbagai cabaran.
"Kita ada 30 sukarelawan dan bawa bersama 10 kenderaan serta lapan bot, kita akan cuba bawa semua yang terkandas keluar dari Hatyai. Ada yang mengadu tidak mendapat makanan dan sebagainya, kita juga berasa sedih," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


