Banjir Hatyai: Ramai rakyat Malaysia masih terkandas, operasi menyelamat dipergiat - Wisma Putra

Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla serta Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok terus memantau rapat situasi semasa berikutan hujan lebat berterusan sehingga Rabu. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Usaha menyelamat dan membantu rakyat Malaysia terkandas banjir besar di Hatyai, Thailand terus dipertingkat melibatkan kawasan yang akses jalannya masih lumpuh.
Ringkasan AI
- Usaha menyelamat dan membantu rakyat Malaysia terkandas banjir besar di Hatyai, Thailand diperkukuhkan dengan konsulat dan kedutaan Malaysia memantau rapat situasi semasa.
- Operasi menyelamat menunjukkan perkembangan positif, dengan 1,210 rakyat Malaysia diselamatkan dalam tempoh dua hari, walaupun ribuan mangsa masih belum selamat disebabkan paras air tinggi dan arus deras.
- Pasukan dari Kedutaan Malaysia di Bangkok dihantar ke Hatyai bagi menyokong operasi menyelamat dengan mengagihkan bantuan perubatan, makanan, dan air bersih kepada rakyat Malaysia yang terjejas.
"Pada 25 November sahaja, seramai 870 rakyat Malaysia berjaya diselamatkan dengan kerjasama pasukan penyelamat Malaysia dan pihak berkuasa Thailand.
"Sebelum ini, seramai 340 rakyat Malaysia diselamatkan pada 24 November, menjadikan jumlah keseluruhan 1,210 mangsa dibawa keluar dalam tempoh dua hari," ujar Kementerian Luar Negeri menerusi satu kenyataan pada Rabu.
Tambah Wisma Putra, meskipun jumlah rakyat Malaysia terkandas semakin berkurangan, ribuan mangsa termasuk warga Malaysia masih gagal dibawa keluar kerana paras air tinggi dan arus deras.
"Ketika ini, keutamaan operasi menyelamat diberikan kepada mereka yang memerlukan bantuan perubatan atau kebajikan segera. Kami tidak akan berhenti sehingga semua rakyat Malaysia selamat.
"Bagi menyokong operasi Konsulat Jeneral di lapangan, satu pasukan dari Kedutaan Malaysia di Bangkok dihantar ke Hatyai pada malam 25 November.
"Mereka bekerjasama rapat dengan badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia serta Tentera Diraja Thailand untuk mengagihkan ubat-ubatan penting, makanan dan air bersih kepada rakyat Malaysia yang memerlukan," kata Wisma Putra.
Rakyat Malaysia di kawasan terjejas dinasihatkan kekal berada di dalam kediaman, sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan serta petugas penyelamat.
Rakyat Malaysia di Hatyai yang masih belum mendaftar dengan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla atau Kedutaan Malaysia di Bangkok digesa segera demikian demikian.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


