KUALA LUMPUR: Sebanyak RM100 juta diperuntukan bagi membina semula dan membaik pulih rumah yang terkesan akibat banjir.

Program dinamakan Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia itu merupakan kendalian bersama Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan sudah pun bermula sejak minggu lalu.

Dalam satu sidang media bersama hari ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid memaklumkan, kos baik pulih dianggarkan sekitar RM5,000 sehingga RM15,000, manakala kos pembinaan semula boleh mencecah sehingga RM56,000.

"Kita mempunyai proses yang akan berlaku di pihak kementerian, baik di KPLB dan KPKT. Kita ada agensi yang akan melaksana program ini termasuk Giat Mara, Risda dan Felcra, dan kita juga akan melantik kontraktor tempatan untuk menjalankan projek ini," kata Mahdzir.

Sementara itu, Reezal berkata, antara proses yang penting ialah pengumpulan maklumat dari Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) kerana ada daripadanya yang belum diperoleh pihak berwajib.

"Seterusnya ialah penilaian dari agensi teknikal kedua-dua kementerian dan ketiga ialah pelaksanaan.

"Jadi keseluruhan proses akan ambil masa kira-kira empat ke enam bulan bagi pembinaan baharu manakala pembaikan pula dalam dua minggu.

"Seperti Datuk Seri Mahdzir katakan, kita akan utamakan kontraktor tempatan untuk melaksanakannya, di KPT dua agensi yang akan lead untuk pembinaan baharu ialah SPNB, manakala baik pulih pula ialah Prima," kata Reezal.

Kos keseluruhan itu, bagaimanapun, bukan angka statik kerana ia merupakan anggaran awal dan boleh berubah mengikut keadaan.

Setakat ini, KPLB sudah menerima permohonan baik pulih sebanyak 1,879 unit rumah dan 195 bagi pembinaan baharu, manakala KPKT pula menerima 7,724 permohonan baik pulih dan 110 pembinaan baharu.

Reezal juga memaklumkan\, pihak kementerian akan membawa beberapa cadangan untuk diluluskan kabinet, sebagai satu usaha tambahan bagi membantu mereka yang terkesan akibat banjir.

"Sebenarnya saya tak tak mahu cakap lagi sebab masih dalam proses cadangan tapi apa yang kita mahu buat ialah rental voucher.

"Kita nak cadangkan kepada Kabinet untuk dapatkan kelulusan, kita nak bagi jumlah nominal dalam RM200 atau RM400 bergantung kepada keadaan, kepada mereka yang perlu pembinaan rumah.

"Jadi sementara tunggu rumah siap, ia boleh jadi satu early relief bagi mereka," tambahnya.