KUALA KRAI: Bukan sahaja memindahkan mangsa banjir, sebaliknya, khidmat anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Krai turut diperlukan bagi memindahkan jenazah seorang penduduk kampung di Sungai Pas di sini, yang dinaiki air.

Jenazah berkenaan melibatkan seorang warga emas, Samsuddin Omar, 63, yang meninggal dunia pagi tadi akibat penyakit tua.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Muhammad Rizuan Ar- Rafee Parsimin, pihaknya menerima panggilan untuk menindahkan jenazah berkenaan sekitar pukul 9.22 pagi tadi.

"Jam 10 pagi, tujuh anggota bomba melaksanakan operasi awal menghantar petugas pejabat Kesihatan Daerah Kuala Krai ke kampung berkenaan menggunakan bot menyeberangi sungai, selepas jambatan Sungai Pas ditenggelami air," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.



Beliau berkata, penghantaran petugas kesihatan ke rumah waris itu bagi membolehkan ujian saringan COVID-19 dilakukan ke atas jenazah berkenaan.

"Selepas dua jam, keputusan negatif diperolehi ke atas jenazah berkenaan dan pihaknya sekali lagi melakukan operasi khidmat khas memindahkan jenazah ke masjid di seberang sungai untuk solat dan pengebumian" katanya

Menurut Muhammad Rizuan lagi, jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Pas, Mengkebang mengikut prosedur normal.

Pada masa ini, beberapa kawasan di Kuala Krai dinaiki air yang menyaksikan 263 dipindahkan ke sembilan pusat pemindahan sementara di daerah berkenaan.