ALOR SETAR: Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Tualak yang dibuka di Padang Terap, tengah malam tadi bagi menempatkan mangsa banjir telah ditutup sepenuhnya pada 11.30 pagi tadi.

Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata PPS yang menempatkan 31 orang daripada 11 keluarga itu ditutup selepas dipersetujui Pegawai Daerah Padang Terap.

"Kesemua mangsa dari Kampung Labi, Mukim Tualak itu telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing berikutan air telah surut sepenuhnya dan keadaan cuaca juga cerah," katanya dalam kenyataan hari ini.

PPS berkenaan dibuka pada 12.01 tengah malam tadi selepas beberapa rumah di kampung berkenaan dinaiki air berikutan hujan lebat dan berterusan sejak 7 malam semalam.

-- BERNAMA