awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Sejumlah kenderaan terjejas selepas isi minyak, Petronas Dagangan hubungi pelanggan terlibat
'Amanah boleh berganti, terima kasih Perlis' - Mohd Shukri
Arab Saudi catat lebih 11.9 juta jemaah umrah pada bulan Jumada al-Akhirah
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

Banjir Kelantan: Kedai kopi jadi pusat edar baju terpakai

Bernama
Bernama
31/12/2023
09:22 MYT
Banjir Kelantan: Kedai kopi jadi pusat edar baju terpakai
Penduduk kampung yang menjadi mangsa banjir rambang mata memilih pakaian terpakai yang disumbangkan oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO) ketika tinjauan di Kedai Kopi Tok Doh, Kampung Serongga hari ini. -Bernama
PASIR MAS: Suasana pagi di Kedai Kopi Tok Doh di Kampung Serongga, di sini, hari ini meriah dengan kehadiran penduduk kampung selepas hampir lima hari mereka menjadi penghuni Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kiambang.
Mereka datang awal ke satu-satunya kedai kopi di kampung itu bukan untuk bersarapan, sebaliknya mahu mengambil baju terpakai yang disumbangkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) kepada penduduk terjejas akibat gelombang ketiga banjir.
Bercakap kepada Bernama, Ruslizawati Che Ismail, 46, berkata hampir separuh pakaiannya serta enam anak hanyut dibawa arus atau rosak akibat bencana itu.
"Air naik sangat pantas, saya tak sempat nak selamatkan barang-barang termasuk pakaian, apa sahaja pakaian yang sempat dicapai, saya bawa ke PPS SK Sri Kiambang.
"Luluh hati apabila balik (ke rumah) melihat ada pakaian yang sudah hilang. Ada yang masih tinggal, tetapi perlu dibasuh kerana terkena lumpur.
"Pagi tadi saya dimaklumkan ada NGO datang hantar pakaian terpakai di sini, jadi saya datang ambil untuk diri sendiri dan anak-anak," katanya.
Kampung Serongga merupakan antara lokasi di sini yang terjejas teruk akibat banjir baru-baru ini apabila kawasan perkampungan yang rata-rata dihuni penoreh getah itu dinaiki air hampir tiga meter.
Ruslizawati berkata melihat keadaan kampung yang sering dilanda banjir, dia tidak bercadang untuk membeli pakaian baharu.
"Setiap tahun kejadian sama berlaku berulang-kali, hati tak ada rasa nak beli pakaian baharu, pakai apa sahaja yang ada, esok dah tahun baharu... kami penduduk sambut dengan pakaian terpakai sahaja," katanya.
Bagi Mat Anuwa Senik, 61, seorang penoreh getah yang kehilangan pendapatan sejak bermulanya monsun timur laut kali ini berkata dia bingung memikirkan kerugian yang dialami akibat banjir.
"Dah hampir dua bulan tak ada sebarang pendapatan sebab tak boleh menoreh getah, rumah pula kena banjir dan harta benda termasuk pakaian rosak," katanya yang turut mengambil pakaian terpakai itu.
Pemilik Kedai Kopi Tok Doh, Che Rashid Che Ismail, 70, berkata dia tidak kisah kedainya dijadikan pusat edaran sementara pakaian terpakai.
"... ini lokasi paling strategik di tengah-tengah kampung, sejak 8 pagi tadi ramai yang datang ambil pakaian ini. Sedikit sebanyak kedai kopi ini mudahkan urusan penduduk kampung," katanya.
PPS SK Sri Kiambang yang menempatkan 638 orang daripada 197 keluarga dari Kampung Serongga, Kampung Tali Sauh, Kampung Seberang Merbau dan Kampung Teresek semasa gelombang ketiga banjir bermula 25 Dis lepas telah ditutup mulai semalam.
-- BERNAMA
Dapatkan info, ramalan cuaca dan berita terkini di sini
Topic Berkaitan
#banjir
#Kedai Kopi Tok Doh
#Kampung Serongga
#SK Sri Kiambang
#baju terpakai
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan