KUANTAN: Keupayaan dron yang semakin berkembang, khususnya dalam konflik keselamatan moden, menuntut pembangunan teknologi pertahanan lebih efektif bagi menangani ancaman udara yang semakin kompleks.
Menyedari keperluan itu, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) membangunkan Rocket-Assisted Interceptor Drone (R.A.I.D), sistem pemintas dron berkuasa roket yang direka untuk memintas dan memusnahkan dron penceroboh secara fizikal.
Inovasi yang dibangunkan menerusi Centre for Aerospace Technology (CAT), UMPSA itu menggabungkan teknologi motor roket dengan dron pemintas jenis First Person View (FPV), sekali gus membolehkan sistem berkenaan bergerak lebih pantas ke arah sasaran.
Pengarah Pusat Teknologi Aeroangkasa UMPSA, Ts. Dr. Muhammad Syahir Amzar Zulkifli, berkata pembangunan R.A.I.D mengambil kira kelemahan pendekatan sistem anti-dron konvensional yang banyak bergantung kepada gangguan isyarat komunikasi dan GPS.
"Antara cabaran yang dihadapi ketika ini ialah terdapat dron yang mampu beroperasi secara autonomi, menggunakan navigasi tanpa GPS atau dikawal menerusi kabel gentian optik.
"Keadaan ini menyebabkan kaedah gangguan isyarat atau jamming tidak lagi berkesan terhadap sesetengah jenis dron, justeru pendekatan pemintasan secara fizikal diperlukan," katanya kepada Astro AWANI, baru-baru ini.
Menurutnya, R.A.I.D dibangunkan sebagai sistem pemintas kategori 'hard kill' yang mampu menangani ancaman dron moden, termasuk yang tidak boleh diganggu menggunakan kaedah elektronik.
Beliau berkata, penggunaan motor roket menjadi antara kelebihan utama sistem itu kerana membolehkan dron pemintas mencapai sasaran dengan lebih pantas, selain menjimatkan penggunaan tenaga bateri dan memanjangkan tempoh penerbangannya.
"Selepas kedudukan dron penceroboh dikenal pasti, R.A.I.D akan dilancarkan menggunakan motor roket untuk bergerak pantas ke arah sasaran.
"Pada ketinggian ditetapkan, sistem pelontar akan melepaskan dron pemintas sebelum operator mengambil alih kawalan menerusi sistem FPV untuk memintas sasaran," katanya.
Menariknya, pembangunan R.A.I.D turut mengutamakan aspek kos dan kebolehhasilan tempatan apabila struktur sistem berkenaan menggunakan teknologi pencetakan tiga dimensi (3D), manakala komponennya terdiri daripada peralatan sedia ada di pasaran atau Commercial Off-The-Shelf (COTS).
Pendekatan itu membolehkan proses pembangunan, pengujian dan pengubahsuaian dilakukan dengan lebih pantas, selain memudahkan penggantian komponen sekiranya berlaku kerosakan.
Dari segi kos, setiap sistem R.A.I.D dianggarkan bernilai RM80,000 dan berpotensi dikurangkan kepada sekitar RM40,000 sekiranya dihasilkan secara besar-besaran.
Kos lebih rendah itu dilihat mampu menjadi alternatif kepada penggunaan peluru berpandu pemintas konvensional yang jauh lebih mahal.
Projek penyelidikan yang dimulakan pada 2023 dan disiapkan pada Januari 2026 itu diketuai Prof. Rizalman Mamat bersama pasukan penyelidik merangkumi beberapa fakulti serta Jabatan Penyelidikan dan Inovasi UMPSA. R.A.I.D turut dipamerkan pada pameran Defence Services Asia (DSA) 2026 di Kuala Lumpur.
Pada masa hadapan, kumpulan penyelidik merancang meningkatkan keupayaan sistem itu menerusi integrasi kecerdasan buatan (AI), khususnya bagi membolehkan proses pengesanan dan penguncian sasaran dilaksanakan secara autonomi. R.A.I.D juga berpotensi digunakan bagi melindungi lokasi strategik negara seperti pangkalan tentera, pelabuhan dan pelantar minyak.
Pembangunan R.A.I.D sekali gus mencerminkan usaha UMPSA memperkukuh keupayaan penyelidikan aeroangkasa tempatan, selain membuka peluang kepada pembangunan teknologi pertahanan buatan Malaysia yang lebih mampu milik dan mengurangkan kebergantungan terhadap sistem import.
Penyertaan UMPSA menerusi inovasi R.A.I.D dalam Festival Idea KPT 2026 yang akan berlangsung pada 17 hingga 19 November di Putrajaya International Convection Centre (PICC) turut memperlihatkan kepelbagaian hasil penyelidikan universiti awam yang bukan sahaja tertumpu kepada pembangunan ilmu, malah berpotensi diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal bagi memenuhi keperluan industri dan keselamatan negara.