Beberapa kawasan di ibu negara dilanda banjir kilat akibat hujan lebat lebih empat jam tanpa henti sejak kira-kira 3 petang Selasa.

Ketua Pusat Pergerakan Operasi Balai bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Samsol Saibani Maarif berkata keadaan itu menyebabkan kesesakan lalu lintas akibat air bertakung di beberapa kawasan termasuk Jalan Sentul, Batu Muda Tambahan dan Persiaran Ampang Hilir.

"Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Zoo Negara juga tidak boleh dilalui kenderaan ringan di kedua-dua arah setelah ia dinaiki air kira-kira 0.6 meter," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, pada Selasa.

Selain itu, Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Jalan Semarak di sini dilanda banjir kilat manakala air Sungai Bunus yang hampir melimpah turut mencemaskan para petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di Wisma Bernama, Jalan Tun Razak di sini.

Petugas Bernama yang dimaklumkan tentang paras sungai itu kira-kira 5.30 petang bergegas keluar bangunan untuk mengalihkan kenderaan masing-masing yang diletakkan di kawasan parkir berhampiran sungai itu.

Wartawan Bernama, Balqis Jamaludin, 29, suasana sedikit kecoh apabila beliau dan ratusan kakitangan pertubuhan itu diarahkan mengalih kenderaan mereka kerana untuk mengelaknya ditenggelami sekiranya air Sungai Bunus melimpah.

"Kakitangan yang bertugas syif biasa juga diarahkan pulang awal...bagaimanapun, kami bersyukur kerana hujan reda lewat petang ini," katanya.

Seorang petugas Pulapol, Fazril Aznil, 24, berkata beberapa bilik kelas agama di pusat latihan polis itu digenangi air sehingga menyebabkan kelengkapan dan perabut basah.

"Syukur bangunan pejabat di sini tidak dimasuki air dan air yang bertakung surut mulai 6 petang," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Mohd Sani Harul berkata hujan lebat juga menyebabkan paras air di beberapa sungai di negeri itu naik hingga ke paras bahaya iaitu 0.5 meter.

Paras air di Sungai Kelang dan Sungai Gisir juga melimpah hingga menjejaskan kawasan kediaman penduduk berhampiran.

"Sebanyak 10 rumah terjejas akibat limpahan sungai di kawasan itu namun, tiada mangsa yang dipindahkan setakat ini," katanya.

Petang tadi, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa kawasan dan ia dijangka berterusan sehingga awal malam ini.

Menurut kenyataan jabatan itu, hujan lebat berlaku di beberapa daerah di Kedah, Perak, Selangor, wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Terengganu dan Sarawak.

-- BERNAMA