Ringkasan AI
- Marvel Studios melancarkan treler terakhir 'Avengers: Doomsday' menjelang tayangan pada 18 Disember, menampilkan gabungan Avengers, X-Men dan Fantastic Four.
- Treler berdurasi tiga minit itu memaparkan kehidupan Steve Rogers bersama Peggy Carter serta kemunculan antagonis utama, Doctor Doom lakonan Robert Downey Jr.
- Filem ini menandakan pertemuan pertama tiga kumpulan adiwira utama MCU dan diarahkan oleh Anthony serta Joe Russo.
MARVEL Studios terus menghangatkan keterujaan peminat Marvel Cinematic Universe (MCU) menerusi pelancaran treler terakhir filem adiwiranya, 'Avengers: Doomsday', menjelang tayangannya pada 18 Disember ini.
Treler baharu itu bukan sahaja memperlihatkan lebih banyak aksi membabitkan pertembungan watak daripada Avengers, X-Men dan Fantastic Four, malah turut memberikan gambaran mengenai kehidupan Steve Rogers selepas peristiwa 'Avengers: Endgame' (2019).
Treler berdurasi kira-kira tiga minit yang dilancarkan pada Isnin itu membuka tirainya dengan perbualan antara Rogers (Chris Evans) dan Peggy Carter (Hayley Atwell) mengenai anak lelaki mereka yang kini sudah mencecah usia remaja.
Rogers, yang memilih untuk tidak kembali ke garis masa asalnya dan sebaliknya kembali ke masa lampau bagi menjalani kehidupan bersama Peggy selepas mengembalikan kesemua Infinity Stones, dilihat masih merahsiakan identiti sebenarnya daripada anak mereka.
Bagaimanapun, kehidupan bahagia pasangan itu mula terganggu dengan kehadiran pasukan Fantastic Four di kediaman mereka, sekali gus membawa kepada pendedahan mengenai masa silam Rogers sebagai Captain America.
Treler berkenaan turut memperlihatkan beberapa babak baharu membabitkan antagonis utama filem itu, Victor von Doom atau Doctor Doom, lakonan Robert Downey Jr, yang dilihat berjalan bersama tiga figura misteri.
Salah seorang daripada mereka dispekulasikan sebagai Wanda Maximoff atau Scarlet Witch (Elizabeth Olsen), susulan babak pascakredit siri VisionQuest yang memperlihatkan Doom menghidupkan semula watak berkenaan.
Peminat turut disajikan dengan gambaran fenomena 'incursion', iaitu pertembungan antara 'universe' di Marvel, selain aksi pertarungan antara Captain America Sam Wilson (Anthony Mackie) dan Cyclops (James Marsden).
Namun, antara babak yang paling mencuri tumpuan sudah tentunya apabila Cyclops melaungkan dialog ikonik daripada komik dan animasi X-Men (1997), "To me, my X-Men!", sebelum barisan adiwira daripada ketiga-tiga kumpulan itu bersatu di medan pertempuran.
Bagi peminat setia X-Men, kemunculan Marsden dengan kostum yang lebih 'comic accurate', selain menyerlahkan peranannya sebagai ketua pasukan, merupakan antara detik yang sudah lama dinantikan.
Diarahkan oleh gandingan adik-beradik Anthony dan Joe Russo, 'Avengers: Doomsday' merupakan filem kelima dalam francais Avengers dan bakal menjadi antara kemuncak Multiverse Saga sebelum diteruskan dengan 'Avengers: Secret Wars'.
Filem itu juga menandakan pertemuan tiga 'universe' Marvel dalam sebuah filem MCU buat julung kalinya.