Ringkasan AI
- Turkiye belum bersedia mempertimbangkan permohonan Malaysia untuk menerima pelarian Rohingya kerana kini menanggung lebih empat juta pelarian dari beberapa negara.
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim memaklumkan perkara itu selepas kenyataan terdahulu Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mengenai penempatan semula 10,000 pelarian Rohingya di Turkiye.
- Malaysia akan terus berusaha mendapatkan negara ketiga, termasuk negara anggota OIC, bagi penempatan pelarian Rohingya dari Malaysia.
KUALA LUMPUR: Turkiye belum sedia mempertimbangkan permohonan Malaysia untuk menerima sebahagian pelarian Rohingya yang berada di negara ini, susulan negara itu kini menanggung lebih empat juta pelarian dari beberapa negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dimaklumkan secara rasmi oleh pihak Turkiye kepada beliau dua hari lalu.
“Saya dapat pesanan daripada pihak Turkiye dua hari lalu bahawa mereka belum bersedia menimbangkan (permohonan Malaysia). Itu bagi pihak Turkiye.
“Turkiye sekarang menanggung lebih empat juta pelarian daripada negara-negara Teluk, negara-negara Arab dan beberapa negara jiran.
"Jadi, itu tidak dapat dipersetujui secara rasmi daripada kerajaan Turkiye,” katanya di Dewan Rakyat, di sini, hari ini, menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PKR-Pasir Gudang).
Hassan meminta penjelasan berhubung kenyataan yang mendakwa kerajaan Turkiye bersedia menerima 10,000 pelarian Rohingya daripada Malaysia.
Pada 20 Nov lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerusi hantaran di media sosial menyatakan, 10,000 pelarian Rohingya dari Malaysia akan ditempatkan semula di Turkiye menerusi program latihan kemahiran berstruktur.
Ahmad Zahid menyifatkan perkara itu sebagai sebahagian daripada usaha strategik kerajaan untuk menangani kehadiran kumpulan etnik itu di negara ini secara lebih teratur, berkesan dan berperikemanusiaan.
Bagaimanapun, kenyataan itu kemudiannya dipadam daripada akaun media sosial beliau tanpa sebarang penjelasan.
Susulan itu, kerajaan digesa menjelaskan sama ada Turkiye benar-benar bersetuju menerima pelarian Rohingya dari Malaysia.
Tegas Anwar, Malaysia akan meneruskan usaha mendapatkan negara ketiga bagi penempatan pelarian berkenaan, termasuk mempertimbangkan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
“Kita tidak mahu hal ini disalah erti kerana percubaan itu, seperti yang disuarakan oleh Timbalan Perdana Menteri (Ahmad Zahid), adalah konsisten dengan pendirian Malaysia untuk mencari tempat negara ketiga.
“Mana-mana negara yang boleh, termasuk negara-negara OIC,” katanya.
Tambah Anwar, terdapat harapan sebelum ini untuk Turkiye mempertimbangkan cadangan berkenaan berdasarkan tradisi negara itu membantu pelarian dari negara Islam.
Namun, Turkiye sudah menyatakan pendirian dengan tegas bahawa ia belum bersedia berikutan tanggungan sedia ada.
Turkiye dilaporkan menolak pengumuman dibuat Ahmad Zahid menerusi Pusat Memerangi Disinformasi (DMM), Direktorat Komunikasi Turkiye.