Skip to main content

Malaysia

Malaysia terus subur sebagai medan pertemuan ulama dunia - JAKIM

Sirajuddin menzahirkan harapan agar pengimarahan majlis ilmu terus memperteguh penghayatan Islam dalam masyarakat berteraskan nilai, hikmah dan disiplin ilmu yang sahih. - Gambar fail/BERNAMA
Sirajuddin menzahirkan harapan agar pengimarahan majlis ilmu terus memperteguh penghayatan Islam dalam masyarakat berteraskan nilai, hikmah dan disiplin ilmu yang sahih. - Gambar fail/BERNAMA
Advertisement

PUTRAJAYA: Kehadiran tokoh ulama terkemuka dunia ke Malaysia sebagai tetamu rasmi negara mencerminkan pengiktirafan terhadap komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh tradisi keilmuan dan wacana intelektual Islam.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata perkembangan itu turut membuktikan Malaysia terus subur sebagai medan pertemuan ulama, ilmuwan dan pemikir dunia Islam dalam memperkukuh kefahaman serta penghayatan Islam berteraskan ilmu dan hikmah.

Beliau berkata antara tokoh berkenaan ialah Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia (IUMS) Al-Allamah Syeikh Prof Dr Ali Muhyiddin Al-Qaradhaghi dan Menteri Wakaf Mesir Sheikh Prof Dr Usamah al-Sayyid al-Azhari.

Advertisement

"JAKIM melihat kehadiran dan penglibatan tokoh-tokoh ulama dunia ini sebagai peluang memperkukuh budaya keilmuan, memperluas jaringan intelektual Islam antarabangsa serta menyuburkan kecintaan umat kepada Baginda Rasulullah SAW,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sirajuddin berkata Al-Qaradhaghi yang berada di Malaysia atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan MADANI dijadual menyertai pelbagai wacana strategik dari 23 hingga 30 Nov ini.

Advertisement

Antaranya persidangan kewangan Islam, dialog kesatuan (wehdah) ummah, Majlis Ilmu MADANI di Kompleks Seri Perdana serta Himpunan Solidariti Palestin di Putrajaya.

Sementara itu, kehadiran Usamah adalah bersempena dengan Majlis Sama‘ Hadis Jami‘ al-Tirmidhi dan al-Syama’il al-Muhammadiyyah Peringkat Antarabangsa 2026 di Masjid Putra dari 13 hingga 23 Nov lepas anjuran Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Sirajuddin turut menzahirkan harapan agar pengimarahan majlis ilmu seumpama itu terus memperteguh penghayatan Islam dalam masyarakat berteraskan nilai, hikmah dan disiplin ilmu yang sahih.

-- BERNAMA  

 

Must Watch Video

Advertisement