PUTRAJAYA: Perdana Menteri Nepal, Balendra Shah bersetuju membantu mempercepat proses pengesahan status 55 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan susulan bencana yang berlaku di negara itu.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, susulan persetujuan itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Peguam Negara mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak berkuasa Nepal, terutama membabitkan aspek perundangan dan proses mahkamah.
Katanya, langkah berkenaan penting bagi memastikan proses pengesahan status rakyat Malaysia terbabit dapat dipercepatkan.
“Perdana Menteri (Anwar) memaklumkan dalam perbualan (telefon) beliau dengan Perdana Menteri Nepal semalam (Selasa), Perdana Menteri Nepal bersetuju untuk membantu mempercepat proses pengesahan status 55 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan susulan bencana yang berlaku di Nepal.
"Sehubungan itu, Perdana Menteri mengarahkan Peguam Negara untuk mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak berkuasa Nepal dengan segera bagi mempercepat proses pengesahan tersebut.
"Proses ini turut membabitkan aspek perundangan dan mahkamah. Maka, Peguam Negara ditugaskan untuk mempercepatkan proses berkenaan," katanya pada sidang media pasca Mesyuarat Kabinet di sini, pada Rabu.
Sebelum ini, Jurucakap Malaysia Solidarity: Families in Hope (MASFIH) Dr Manivannan Rethinam berkata, keluarga rakyat Malaysia yang masih hilang memohon kerajaan mempertimbangkan moratorium khusus terhadap komitmen kewangan mangsa ketika waris berhadapan kesukaran mengakses akaun, aset, perlindungan insurans dan mengurus pinjaman mereka.
Isu kewangan dan perundangan menjadi antara perkara paling mendesak bagi keluarga terutama mereka yang bergantung kepada mangsa sebagai pencari nafkah utama.
Selain itu, MASFIH turut meminta pertemuan melibatkan Bank Negara Malaysia, Jabatan Peguam Negara (AGC) dan agensi berkaitan diadakan bagi mencari mekanisme penyelesaian khusus untuk keluarga terbabit.