Skip to main content

Malaysia

MCMC saman Google RM300 juta berhubung kandungan palsu Papagomo di YouTube

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memfailkan saman RM300 juta terhadap Google LLC atas dakwaan cuai berhubung penerbitan semula kandungan palsu berbaur fitnah di YouTube oleh penulis blog Wan Muhammad Azri Wan Deris, atau dikenali sebagai Papagomo.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memfailkan saman RM300 juta terhadap Google LLC atas dakwaan cuai berhubung penerbitan semula kandungan palsu berbaur fitnah di YouTube oleh penulis blog Wan Muhammad Azri Wan Deris, atau dikenali sebagai Papagomo.

Ringkasan AI

  • MCMC memfailkan saman RM300 juta terhadap Google LLC atas dakwaan cuai membenarkan kandungan palsu berbaur fitnah oleh Papagomo disebarkan semula di YouTube.
  • Saman difailkan di Mahkamah Tinggi pada 23 Oktober, dengan pengurusan kes ditetapkan pada 8 Disember secara e-semakan di hadapan Timbalan Pendaftar.
  • MCMC mendakwa kegagalan Google mematuhi notis menyebabkan kerugian dan menjejaskan kredibiliti pemimpin negara serta keyakinan awam, selain menuntut pelbagai perintah injunksi.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memfailkan saman RM300 juta terhadap Google LLC atas dakwaan cuai berhubung penerbitan semula kandungan palsu berbaur fitnah di YouTube oleh penulis blog Wan Muhammad Azri Wan Deris, atau dikenali sebagai Papagomo.

MCMC selaku plaintif memfailkan saman itu terhadap syarikat teknologi multinasional yang berpangkalan di Amerika Syarikat pada 23 Okt lepas di Mahkamah Tinggi di sini menerusi Tetuan Sitham & Associates.

Media memperoleh dokumen itu hari ini.

Advertisement

Berdasarkan semakan sistem mahkamah, pengurusan kes saman itu ditetapkan pada 8 Dis ini secara e-semakan di hadapan Timbalan Pendaftar Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.

Dalam pernyataan tuntutan, MCMC berkata pada 12 Ogos lepas, plaintif telah menerima aduan dan mengenal pasti penerbitan semula kandungan oleh Wan Muhammad Azri yang boleh diakses di platform YouTube.

Advertisement

Susulan itu, MCMC mengeluarkan satu notis pada 19 Okt dengan mendakwa Google gagal melaksanakan kewajipan statutori yang bebas di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta syarat lesennya, menyebabkan kandungan Wan Muhammad Azri terus disebarkan.

MCMC juga mendakwa Google gagal mengambil langkah proaktif yang munasabah untuk menilai dan menyiasat secara bebas kandungan yang dipertikaikan serta saluran YouTube Wan Muhammad Azri selepas menerima notis bertarikh 19 Okt daripada suruhanjaya itu.

Menurut MCMC, defendan juga gagal mengambil tindakan segera untuk mengalih keluar kandungan berkenaan, menyahdayakan atau mengehadkan akses kepada hantaran yang dipertikaikan dan saluran YouTube Wan Muhammad Azri dalam tempoh munasabah selepas dimaklumkan mengenainya.

MCMC mendakwa defendan pada setiap masa yang material mengetahui tindakan berterusan Wan Muhammad Azri menyebarkan kandungan memudaratkan di YouTube namun gagal, enggan atau cuai mengambil langkah sewajarnya untuk memadamkan kandungan berkenaan.

Plaintif mendakwa kegagalan dan keengganan Google mematuhi notis berkenaan menyebabkan kandungan yang dipertikaikan terus disebarkan semula sekali gus menjejaskan persepsi serta kredibiliti pemimpin negara selain menghakis keyakinan awam.

Menurut MCMC, kandungan berkenaan adalah palsu, mengelirukan dan tidak berasas berhubung tokoh awam, institusi kerajaan, pihak berkuasa serta kepentingan awam.

Susulan itu, MCMC mendakwa pihaknya telah mengalami kerugian, kerosakan atau kemudaratan berikutan kegagalan Google memadamkan kandungan yang diterbitkan dan diterbitkan semula oleh Wan Muhammad Azri di YouTube.

Sehubungan dengan itu, MCMC memohon deklarasi bahawa Google sebagai pemegang lesen penyedia perkhidmatan, tertakluk kepada kewajipan statutori untuk mematuhi arahan dikeluarkan MCMC bagi mengalihkan dan menyahdaya akses kepada kandungan yang diterbitkan semula oleh Wan Muhammad Azri.

MCMC turut memohon deklarasi bahawa Google telah melanggar kewajipan berjaga-jaga terhadapnya dan pelanggan di Malaysia dengan membenarkan kandungan dalam talian yang memudaratkan termasuk kandungan dan penerbitan semula yang dipertikaikan serta bertentangan dengan undang-undang Malaysia untuk kekal di platform YouTube.

Plaintif turut memohon beberapa perintah injunksi terhadap Google antaranya supaya syarikat itu meneruskan tindakan menyekat akaun YouTube berkenaan serta mengambil tindakan dalam tempoh 24 jam untuk mengesan dan memadamkan sebarang kandungan serupa yang menampilkan Wan Muhammad Azri sama ada dimuat naik menerusi akaunnya sendiri atau akaun pihak ketiga termasuk dalam sesi siaran langsung di YouTube.

Sehubungan dengan itu, MCMC turut menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan masing-masing berjumlah RM100 juta atau apa-apa jumlah lain yang ditaksirkan oleh mahkamah.

MCMC juga memohon faedah terhadap apa-apa jumlah ganti rugi yang diberikan pada kadar dan bagi tempoh yang ditentukan serta kos prosiding atas dasar indemniti dan relif lanjut sebagaimana yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement