PUTRAJAYA: Malaysia menghantar pasukan pakar sampel asid deoksiribonukleik (DNA) ke Nepal bagi membantu proses pengecaman mangsa rakyat Malaysia yang terlibat dalam bencana di negara itu.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, ia mencerminkan usaha negara dalam memastikan kebajikan dan nasib rakyat Malaysia yang terjejas di luar negara terus diberi perhatian.
“Jemaah Menteri telah dimaklumkan mengenai penghantaran pasukan pakar DNA dari Malaysia ke Nepal untuk membantu proses pengecaman mangsa-mangsa dari Malaysia akibat bencana di negara tersebut,” katanya.
Fahmi berkata, perkara itu dimaklumkan kepada Jemaah Menteri dalam mesyuarat dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu.
Jelasnya, pasukan berkenaan akan membantu pihak berkuasa Nepal mengenal pasti mangsa melalui analisis dan padanan DNA.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, sebarang maklumat lanjut mengenai operasi berkenaan boleh dirujuk kepada Kementerian Luar yang menyelaras urusan melibatkan rakyat Malaysia di luar negara.
Dalam tragedi bencana pada 26 Ogos lalu, seramai 55 rakyat Malaysia dilaporkan gagal dihubungi, manakala 77 lagi yang dikesan selamat di Tibet dan Nepal telah dibawa ke Kathmandu untuk menjalani proses dokumentasi sebelum pulang ke Malaysia.