KUALA LUMPUR: Majoriti daripada 56 rakyat Malaysia yang terputus hubungan dengan keluarga susulan kejadian banjir kilat di Nepal dilaporkan berada di negara itu bagi tujuan pendakian dan mengikuti upacara keagamaan.
Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu, Mohd Firdaus Azman berkata, berdasarkan senarai yang diterima pihak kedutaan, rata-rata rakyat Malaysia terbabit menuju ke kawasan berkenaan bagi aktiviti pendakian atau menghadiri upacara keagamaan di sebelah Tibet.
“Rata-rata sama ada mereka pergi untuk pendakian atau upacara keagamaan di sebelah Tibet. Semuanya ke arah sebelah Tibet,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis.
Dalam pada itu, Mohd Firdaus berkata usaha mencari dan menyelamat rakyat Malaysia yang terjejas berdepan cabaran susulan kemusnahan teruk laluan darat akibat bencana berkenaan.
Mohd Firdaus menambah, keadaan itu menyebabkan akses ke kawasan terjejas melalui jalan darat amat sukar, sekali gus menjadikan penggunaan helikopter sebagai antara kaedah utama untuk operasi menyelamat.
“Usaha mencari menyelamat ni agak mencabar kerana laluan darat telah musnah agak teruk. Jadi usaha untuk ke kawasan terjejas melalui jalan darat adalah tidak, orang kata agak sukar.
“Hanya melalui helikopter saja yang boleh. Sebab itu fokus utamanya adalah untuk mencari, untuk mendapatkan mereka yang cedera parah dan bawa ke Kathmandu untuk tujuan rawatan,” tambahnya lagi.
Sementara itu, senarai lengkap 56 rakyat Malaysia yang terputus hubungan dengan keluarga telah diterima pihak kedutaan.
Jelasnya lagi, pihak kedutaan akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa Nepal dan hospital tempatan bagi mendapatkan maklumat mengenai status serta keberadaan rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi.