KUALA LUMPUR: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang terlibat dalam misi mencari dan menyelamat di Nepal dijangka kembali ke Malaysia sama ada pada Sabtu atau Ahad.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata kepulangan pasukan itu susulan operasi berkenaan yang sudah berada di penghujung dan tidak banyak lagi yang dapat dilakukan pasukan berkenaan.
"Saya fikir hari ini (Sabtu) atau esok (Ahad) mereka akan kembali kerana kita sudah berada di penghujung operasi di sana dan tidak banyak yang boleh kita lakukan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, pada Sabtu.
Bagaimanapun, Mohamad berkata kerajaan Nepal masih belum berhasrat menamatkan operasi mencari dan menyelamat walaupun pasukan SMART dijangka pulang.
Katanya, berdasarkan laporan harian yang diterima daripada Kedutaan Malaysia di Nepal, kira-kira 5,000 individu masih dalam kategori tidak dapat dikesan.
"Pihak berkuasa Nepal tidak berhasrat untuk mengumumkan penamatan usaha mencari dan menyelamat kerana masih ada kira-kira 5,000 orang yang tidak dapat dikesan.
"Mereka tidak mahu mengumumkan pemberhentian atau menamatkan operasi ini kerana tidak mahu timbul isu tempatan dan bimbang rakyat akan menekan kerajaan Nepal," tambahnya.
Beliau berkata usaha mencari masih dijalankan berikutan terdapat timbunan lumpur dan pasir yang tebal sehingga menyebabkan banyak rumah serta bangunan tertimbus sepenuhnya.