PEKAN: Malaysia akan melakukan siasatan susulan penahanan 30 rakyat negara ini yang disyaki terlibat dengan aktiviti penipuan dalam talian di Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia baru-baru ini.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pihak berkuasa negara akan mengambil tindakan sewajarnya berhubung isu berkenaan.
“Amalannya adalah pihak Indonesia akan menghubungi pasukan polis kita bagi memberi ruang untuk melakukan siasatan dari sudut pandang kita.
“Tujuannya mahu pastikan sama ada ini satu gerakan bersendirian 30 orang ini sahaja atau pun merupakan satu sindiket yang lebih tersusun. Jadi hasil maklumat itu nanti akan membolehkan kita menyusun rencana untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Kampung dan Sekolah Angkat MADANI Jabatan Imigresen Malaysia 2026 di Sekolah Kebangsaan Nenasi di sini hari ini.
Dilaporkan, pihak berkuasa Indonesia menahan 30 rakyat Malaysia dan seorang warga Taiwan di sebuah hotel kira-kira 11.15 pagi Selasa susulan risikan berhubung kegiatan mencurigakan membabitkan warga asing.
Sementara itu, Saifuddin Nasution yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan berkata tumpuan kerajaan MADANI kini ialah mengutamakan isu rakyat.
"Kita masih ada hingga Februari 2028… banyak lagi kita boleh manfaatkan kedudukan kerajaan sekarang, jaga kestabilan dengan elok, urus ekonomi dengan cermat dan tumpu kebajikan rakyat.
"Setahun lebih ini masa yang cukup lumayan untuk kita tumpu kepada menunaikan amanah kepimpinan dan tumpu kepada jaga kebajikan rakyat, pada saya itu lebih afdal," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gesaan supaya Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) disegerakan sebelum tempoh Parlimen Penggal Ke-15 tamat.
-- BERNAMA