KUALA LUMPUR: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) tiba di Dhunche, Nepal, pada Selasa bagi memulakan cerapan udara menggunakan dron untuk mendapatkan gambaran lebih menyeluruh mengenai keadaan di kawasan terjejas.
Dhunche menjadi pangkalan hadapan taktikal bagi operasi di kawasan Rasuwa yang meliputi Timure, Syafrubesi, Dhunche dan Mailung.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Meor Ismail Meor Akim berkata, pasukan berkenaan tiba di Dhunche, kira-kira pukul 11.30 pagi waktu Nepal (1.45 petang waktu Malaysia) menaiki helikopter MI-17.
"Berdasarkan perancangan operasi, empat sektor dikenal pasti untuk aktiviti cerapan dron, yang meliputi kawasan antara Syafrubesi dan Timure.
"Dua pasukan dron akan digerakkan selama dua hari bagi meliputi Sektor A, B, C dan D.
"Setiap pasukan terdiri daripada lapan anggota, membabitkan gabungan empat anggota SMART dan empat anggota Angkatan Tentera Nepal," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu, Meor Ismail berkata keadaan cuaca yang sering hujan setiap hari turut diambil kira dalam menentukan kaedah operasi paling sesuai bagi memastikan aktiviti cerapan dan pengumpulan data foto udara dapat dilaksanakan secara optimum.
Menurutnya, data yang diperoleh daripada cerapan udara itu akan dianalisis bagi mendapatkan gambaran keadaan kawasan terjejas serta membantu menyokong perancangan operasi seterusnya.