Skip to main content

Malaysia

Banjir Nepal: Tiada pengesahan rasmi kemalangan jiwa libatkan rakyat Malaysia - Wisma Putra

People stand on the edge of a broken bridge following a flash flood in Galchhi, Nepal, August 27, 2026. REUTERS/Francis Mascarenhas
Warganegara Malaysia yang menetap atau sedang melakukan perjalanan di Nepal, khususnya di kawasan terjejas atau berhampiran, dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, mengutamakan keselamatan diri dan mematuhi semua arahan pihak berkuasa tempatan. - Gambar REUTERS
Advertisement

PUTRAJAYA: Kementerian Luar Negeri belum menerima sebarang pengesahan rasmi mengenai kemalangan jiwa yang melibatkan warganegara Malaysia susulan bencana banjir di Daerah Rasuwa, Nepal.

Dalam satu pemakluman media, Wisma Putra berkata pihaknya melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu sedang giat mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa Nepal berhubung maklumat tular di media sosial mendakwa ada rakyat Malaysia terkorban.

“Pada peringkat ini, kementerian belum menerima sebarang pengesahan rasmi mengenai sebarang kemalangan jiwa yang melibatkan warganegara Malaysia,” menurut kenyataan Wisma Putra, pada Khamis.

Sehubungan itu, Wisma Putra menggesa orang awam supaya tidak membuat spekulasi atau berkongsi maklumat yang belum disahkan, selain meminta pengamal media agar tidak menerbitkan atau menyebarkan laporan berhubung dakwaan berkenaan.

"Penyebaran maklumat tidak sahih boleh mencetuskan kebimbangan dan tekanan yang tidak sepatutnya kepada ahli keluarga terlibat,” tegas kenyataan itu.

Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu kini sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa Nepal, pasukan mencari dan menyelamat, Lembaga Pelancongan Nepal, agensi pelancongan serta hospital utama di Kathmandu bagi memastikan keselamatan dan keberadaan warganegara Malaysia yang mungkin terlibat.

"Pegawai konsular di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi dan Kedutaan Besar Malaysia di Beijing turut diaktifkan bagi membantu mendapatkan maklumat daripada pihak berkuasa berkaitan.

"Bilik Operasi Kementerian di Putrajaya telah beroperasi sejak 12 tengah hari bagi menyelaras maklumat dan menyediakan saluran komunikasi langsung kepada warganegara Malaysia di kawasan terjejas serta ahli keluarga mereka," jelas Wisma Putra.

Dalam pada itu, warganegara Malaysia yang menetap atau sedang melakukan perjalanan di Nepal, khususnya di kawasan terjejas atau berhampiran, dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, mengutamakan keselamatan diri dan mematuhi semua arahan pihak berkuasa tempatan.

Wisma Putra turut menggesa warganegara Malaysia di Nepal untuk mendaftar serta mengemas kini maklumat perhubungan menerusi portal e-Konsular bagi memudahkan urusan bantuan sekiranya diperlukan.

Wisma Putra akan terus memantau perkembangan situasi ini dan akan menyalurkan maklumat terkini sebaik sahaja maklumat sahih diperoleh.

Must Watch Video

Advertisement