KUANTAN: Bilangan mangsa banjir di Pahang meningkat kepada 97 orang petang ini, berbanding tujuh orang pagi tadi, dengan paras beberapa sungai utama menunjukkan trend peningkatan.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang dalam satu kenyataan berkata, semua mangsa terdiri daripada 28 keluarga itu kini ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Rompin, sehingga jam 5.30 petang.

"PPS Balai Raya Setajam merekodkan jumlah mangsa yang paling ramai iaitu 50 mangsa daripada 15 keluarga.

"Manakala PPS Balai Raya Bukit Lepas menempatkan 40 orang mangsa daripada 11 keluarga dan PPS Balai Raya Bandar Perwira Jaya kekal menempatkan tujuh mangsa daripada dua keluarga," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, menerusi laman web Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Sungai Keratong di Jambatan Bahau Keratong, Rompin merekodkan bacaan air sungai melepasi paras bahaya iaitu 23.19 meter.

Selain itu Sungai Pukin, Rompin pula mencatatkan paras air melebihi paras amaran iaitu 44.93 meter.

Sebanyak lima sungai merekodkan bacaan melepasi paras waspada iaitu dua sungai di Maran, serta masing-masing satu di Temerloh, Bera dan Kuantan.

Dua sungai di Maran ialah Sungai Pahang di Lubok Paku dan Sungai Kundang di Jambatan Sungai Kundang.

Di Temerloh pula Sungai Semantan di Jambatan  Keretapi Mentakab; Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang di Bera dan Sungai Belat di Sri Damai, Kuantan.