KUANTAN: Seorang pesakit saraf yang terlantar sejak sembilan tahun lepas, tidak menduga sebaik dibenarkan keluar dari hospital terpaksa pula 'berteduh' di pusat pemindahan sementara (PPS) apabila kediamannya di Pengkalan Bata, Cherating, di sini dilanda banjir.

Abdul Rani Yusof, 55, berkata dia kini ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Cherating bersama ibunya Yah Ismail, 77, selepas dirawat di Hospital Kemaman, Terengganu, selama lima hari.

"Saya dimasukkan ke hospital sebab mengalami sesak nafas, tetapi bila sudah dibenarkan pulang rumah pula banjir.

"Memang tak sempat balik rumah sebab air dah naik hampir satu meter, jadi anak saudara terus bawa ke sini. Kami dah dua malam berada di PPS ini, mujur ada kakak tolong selamatkan barang-barang berharga di rumah," katanya ketika ditemui pemberita di PPS SK Cherating yang setakat tengah hari ini menempatkan 158 mangsa banjir.

Bercerita mengenai keadaan kesihatannya, bekas pekerja kilang itu berkata penyakit tersebut dialami sejak 2013, selepas terlibat dalam kemalangan apabila motosikal yang diboncengnya dilanggar sebuah kenderaan dari arah belakang.

Katanya selepas insiden itu, dia diuruskan oleh ibunya dan dibantu adik beradik lain yang tinggal berdekatan.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Pahang Datuk Dr Nor Azimi Yunus ketika mengadakan lawatan di PPS berkenaan, berkata pasukan perubatan telah diatur gerak ke PPS bagi memantau dan memberikan rawatan sewajarnya kepada mangsa banjir sekiranya diperlukan.

Katanya bagi PPS berskala besar pasukan perubatan ditempatkan secara statik, manakala bagi PPS yang bilangan penghuninya tidak ramai, petugas kesihatan akan bergerak secara mobile (pasukan bergerak).

Selain itu, menurutnya setakat semalam seramai 1,014 mangsa banjir menjalani saringan COVID-19 sebelum memasuki PPS dan tiada kes positif dilaporkan.

Bagaimanapun, katanya daripada jumlah itu 100 kes atau 9.9 peratus telah dikesan mempunyai masalah kesihatan lain antaranya jangkitan saluran pernafasan dan penyakit kulit.

Dr Nor Azimi berkata, pasukan Perkhidmatan Sokongan Kesihatan Mental dan Psikososial juga telah memberikan sokongan psikososial kepada 356 mangsa banjir dan 29 petugas barisan hadapan dengan melaksanakan aktiviti relaksasi, terapi seni dan psikopendidikan.

Mengulas mengenai warga Jabatan Kesihatan Negeri Pahang yang terkesan banjir, katanya seramai 34 orang terlibat selain memaklumkan semua fasiliti kesihatan di negeri ini masih beroperasi seperti biasa hingga semalam.

-- BERNAMA