PUTRAJAYA: Kira-kira 100 sukarelawan Skuad Musa’adah Agensi Hal Ehwal Islam digerakkan bagi membantu mangsa-mangsa banjir di seluruh negara termasuk di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata, ia melibatkan sebanyak 14 buah kenderaan bagi mengedar barangan keperluan asas serta sumbangan wang tunai berjumlah RM5.3 juta kepada mangsa banjir di Pantai Timur.

Selain membawa bantuan tersebut, beliau menambah bimbangan rohani dan nasihat akan turut diberikan oleh para pegawai dan kakitangan agama Islam kepada keluarga dan mangsa banjir.

"Skuad Musa'adah ini akan berperanan untuk menyantuni semua rakyat negara ini tanpa melihat kepada agama, keturunan dan bangsa yang terkesan akibat  daripada banjir.

"Ini juga selaras dengan hasrat kerajaan untuk menyegerakan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir terutamanya di Pantai Timur melalui pelbagai agnesi termasuk JPM (Hal Ehwal Agama)," katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Dan Pelepasan Skuad Musa'adah Agensi-Agensi di bawah Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama), di sini pagi ini.


.

Mohd Na'im berkata, peruntukan sebanyak RM5.3 juta disalurkan oleh lima agensi-agensi bagi membantu mereka yang ditimpa musibah.

Ia melibatkan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPIEM) sebanyak RM3.37 juta; Yayasan Taqwa (RM654,400); Lembaga Tabung Haji (RM500,000); Tabung Musa'adah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Yayasan Waqaf Malaysia (RM500,000); serta Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (RM250,000).

Dalam masa terdekat, jelas Mohd Na'im lagi, beberapa agensi termasuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) akan mengumumkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir.

Sementara itu, beliau turut meminta masjid-masjid di bawah selian Jakim dan Jawi termasuk surau-surau di Wilayah Persekutuan untuk mengadakan solat hajat.

Jumlah mangsa banjir ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Terengganu dan Pahang terus meningkat, Johor dan Perak kekal manakala di Kelantan semakin berkurangan setakat 8 pagi ini.