BENTONG: Penduduk Kampung Baru Sungai Perdak di sini, masih belum bersedia untuk pulang ke rumah masing-masing meskipun sebahagian besar puing kayu yang membadai kampung itu dalam kejadian banjir Disember lalu telah dialihkan.

Seorang Penduduk, Lai Chun Fen, 72, berkata, sebahagian besar rumah penduduk di sini bukan sahaja rosak, malah ada yang dihanyutkan banjir selain lumpur tebal di dalam rumah amat sukar dibersihkan.

Menurutnya, kejadian banjir yang terburuk di kampung itu dalam tempoh 50 tahun ini bukan sahaja menyebabkan mereka trauma malah tidak berupaya berbuat apa-apa untuk membaiki kerosakan yang dialami.

"Kami tidak bersedia untuk balik rumah. Keadaan rumah terlalu teruk. Bukan sahaja dinding roboh, lumpur di dalam dan di luar rumah pun masih tebal. Memang susah untuk dibersihkan

"Buat masa sekarang, ada yang menumpang rumah anak dan saudara, ada juga yang menyewa rumah di kawasan berdekatan," katanya semasa tinjauan Astro AWANI, hari ini.

SEMUA MENGENAI BANJIR DI SINI

Difahamkan, masih terdapat dua keluarga yang menumpang di pusat pemindahan banjir (PPS) dekat Dewan Serbaguna Kampung Telemong sehingga Ahad ini, walaupun PPS itu secara rasmi ditutup jam 5.00 petang ini.

Chun Fen berkata, lebih menyedihkan rumah  peninggalan bapa yang dijaga adiknya turut musnah semasa kejadian bah besar itu.

Katanya, kawasan ini seolah-olah tidak lagi selamat diduduki penduduk, dan kini menunggu penyelesaian daripada pihak berwajib namun mereka berharap ia adalah penyelesaian terbaik untuk semua pihak.

Longgokan puing kayu diletakkan setempat oleh pihak berwajib bagi memudahkan perhubungan di kawasan perkampungan ini.

Menurut adik iparnya, Chan Mee Lim, 56, rumah yang didiami lebih 30 tahun bersama suami sudah tiada, dan kini mereka terpaksa menumpang di rumah anaknya di Karak buat sementara waktu.

"Semasa kejadian (18 Disember lalu), saya tiada di sini sebab ke rumah anak. Petang  tu, mereka beritahu sudah banjir tapi saya masih tidak tahu rumah dah tiada. Saya hanya tahu melalui sosial media Facebook sahaja.

"Saya betul-betul terkejut, sedih dengan apa yang berlaku. Di sini memang setiap tahun banjir, cuma saya tak jangka ia seteruk ini. Habis rumah kami. Dokumen dan barang yang penting sahaja anak saya dapat selamatkan. Yang lain habis sekelip mata hilang," katanya.

Sementara itu, ketua kampung, Thu Yin Li, 50, memberitahu 80 peratus penduduk yang telah keluar dari PPS berpindah keluar buat sementara waktu sehingga kerja-kerja pembersihan di sini selesai dilaksanakan.

"Bagaimanapun, saya sudah memaklumkan kepada penduduk sekiranya mereka mahu membersihkan rumah, saya boleh aturkan beberapa pihak termasuk NGO untuk membantu.

"Dalam keadaan rumah penduduk sekarang, sememangnya ia akan mengambil masa untuk pulih, namun saya berterima kasih kepada pihak kerajaan dan NGO yang banyak menghulurkan bantuan meringankan beban penduduk terjejas," katanya

Tinjauan Astro AWANI mendapati masih terdapat timbunan sampah dan lumpur di dalam rumah, serta longgokan puing kayu dikumpulkan di tepi jalan kampung itu.

Penduduk berharap longkang baharu dapat dibina selain longgokan puing kayu itu dialihkan.