BERLIN: Dua menteri kanan Kerajaan Bolivia dilaporkan meletakkan jawatan ketika negara itu berdepan gelombang protes dan sekatan jalan raya yang semakin memuncak, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Menteri Pertahanan, Marcelo Salinas dan Menteri Pendidikan, Beatriz Garcia, dilaporkan melepaskan jawatan masing-masing pada Selasa, menurut laporan media tempatan yang memetik sumber kerajaan.
Bagaimanapun, setakat ini belum ada pengesahan rasmi mengenai peletakan jawatan dan punca sebenar tindakan itu juga masih belum diketahui.
Beberapa kumpulan yang mengadakan demonstrasi di negara itu sejak beberapa minggu lepas dilaporkan menuntut peletakan jawatan beberapa anggota kabinet, menurut akhbar La Razon.
Negara Andes di Amerika Selatan itu kini berdepan krisis politik yang berlarutan sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Sejak awal Mei, kesatuan sekerja, petani, pelombong dan penyokong bekas presiden berhaluan kiri, Evo Morales menyekat laluan pengangkutan utama di seluruh negara.
Tindakan itu menyebabkan kekurangan bekalan makanan, bahan api dan ubat-ubatan.
Protes itu dilakukan sebagai manifestasi rasa tidak puashati terhadap keadaan ekonomi yang sukar, peningkatan kos sara hidup serta rancangan pembaharuan yang diperkenalkan oleh kerajaan konservatif pimpinan Presiden Rodrigo Paz.
Kemenangan Rodrigo Paz dalam pilihan raya pada penghujung 2025 menamatkan era pemerintahan kerajaan berhaluan kiri yang berlangsung hampir dua dekad di Bolivia.
Sungguhpun begitu, pemerhati politik berpendapat punca sebenar krisis semasa berpunca daripada ketidakpuasan hati sosial dan ekonomi yang lebih meluas.
Sekalipun Morales dianggap sebagai antara penyokong utama gerakan protes, penganalisis melihat beliau lebih sebagai pihak yang mendapat manfaat politik daripada krisis itu berbanding pencetus utamanya.
-- BERNAMA-dpa