KUALA LUMPUR: Peka dengan situasi banjir yang berlaku ketika ini, Pharmaniaga Bhd (Pharmaniaga) menyumbangkan bantuan kecemasan, perubatan, keperluan penting dan peruntukan buat mangsa banjir yang kehilangan tempat tinggal di beberapa buah negeri.

Pharmaniaga dalam satu kenyataan berkata, pihaknya turut mengerahkan 230 sukarelawan dalam kalangan pekerjanya bagi membersihkan rumah dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang terjejas di sekitar Hulu Langat, Puchong dan Shah Alam.

Pada masa sama, syarikat farmaseutikal itu juga bekerjasama dengan beberapa agensi kerajaan, antaranya Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Pertahanan (Mindef), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk membekalkan keperluan asas dan kit kecemasan kepada mangsa banjir di Pahang dan Negeri Sembilan.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata, bencana banjir tersebut menjejaskan hampir 200 pekerjanya dan sesetengahnya yang tinggal di Taman Sri Muda, Meru dan Kg Lombong telah pun dipindahkan dan ditempatkan di pusat pemindahan sementara berdekatan yang disediakan syarikat. 

“Bagi yang memutuskan untuk tinggal di rumah, kami akan memastikan mereka (mangsa banjir) mempunyai bekalan makanan, keperluan asas yang mencukupi termasuk sentiasa berkomunikasi dengan mereka dari masa ke masa.

“Tidak terhenti di sini sahaja, sebagai sebahagian di bawah Rangkaian Tindak Balas Bencana GLC/GLIC (GDRN), Pharmaniaga bersama GLC dan GLIC lain akan sentiasa menyokong membantu mangsa banjir pada skala yang lebih besar lagi,” katanya.

Selain itu, pihaknya juga secara aktif menyokong penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam menyumbang bantuan perubatan kepada mangsa banjir di klinik bergerak mereka di Taman Sri Muda, Hulu Langat dan Karak.

Tambah Zulkarnain, gudang dan operasi perniagaan tetap berjalan seperti biasa dan tidak terjejas kerana telah mempersiapkan tenga kerja bagi menggantikan mereka yang terjejas akibat banjir.

“Rangkaian pengedaran kami tidak terjejas, tetapi di Ladang Bukit Changgang 2, Kuala Langat, kami sudah menghantar bekalan perubatan kecemasan menggunakan dron melalui kerjasama rakan kongsi kami.

“Kami menyaksikan kerosakan yang teruk disebabkan oleh banjir. Ini akan mengambil sedikit masa untuk kembali pulih, namun kami akan terus membantu mereka membina semula hidup,” katanya lagi.