Semua hospital di bawah seliaan Kementerian Kesihatan telah dilengkapi pelbagai keperluan yang mampu bertahan lebih dua minggu sebagai persiapan menghadapi banjir pada musim tengkujuh ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata kesemua keperluan itu sentiasa berada dalam keadaan siap sedia bagi melindungi hospital ketika banjir.

"Sebagai contoh, janakuasa, bekalan air, ubat-ubatan dan apa sahaja keperluan yang diperlukan disediakan bagi membolehkan hospital berfungsi ketika banjir.

"Perancangan kami dibuat berdasarkan pengalaman dilanda banjir tahun lepas dengan kesemua hospital yang dilanda banjir dapat bertahan selama dua minggu," katanya ketika ditanya tentang persediaan kementerian bagi menghadapi banjir.

Jumaat lepas, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran hujan lebat peringkat merah dan jingga bagi negeri-negeri pantai timur dan Johor.

Amaran hujan lebat peringkat merah dikeluarkan bagi kawasan Kota Baharu, Pasir Puteh, Bachok dan Tumpat di Kelantan manakala di Terengganu melibatkan Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.