SEREMBAN: Semua taman eko rimba dan kawasan pendakian dalam hutan simpanan kekal di Negeri Sembilan ditutup berkuat kuasa pada Isnin susulan banjir sehingga tarikh akan dimaklumkan kelak.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan, Saleh Awaluddin berkata, kerajaan Negeri Sembilan telah mengarahkan semua hutan lipur ditutup sementara.

"Ia memandangkan keadaan cuaca yang berterusan hujan manakala untuk kes di Hutan Lipur Jeram Toi, Jelebu pihak jabatan sedang menilai kerosakan disebabkan kejadian tanah runtuh yang merosakkan beberapa infrastruktur sedia ada di sana.

"Orang ramai dinasihatkan tidak mendekati semua kawasan hutan lipur dan kawasan pendakian buat masa ini sehingga dimaklumkan oleh pihak jabatan," katanya pada Isnin.

Menurut Saleh, ia berikutan terdapat risiko seperti tanah runtuh, pokok tumbang dan kepala air.

"Sebelum ini jabatan mengambil tindakan menutup Hutan Simpan Kenaboi atas faktor cuaca.

"Kini semua kawasan seperti gunung, bukit dan hutan yang memerlukan permit untuk memasukinya ditutup," katanya.

Pada Ahad tular di laman sosial Facebook gambar terkini di Hutan Lipur Jeram Toi, Jelebu yang mengalami kerosakan akibat banjir susulan hujan lebat.


*Berita asal di Sinar Harian