KEMAMAN:Kerajaan negeri Terengganu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk tragedi bencana banjir besar seperti yang berlaku pada 2013 berulang.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Hanafiah Mat berkata, kesemua agensi yang berkaitan sudah melakukan persiapan bagi menghadapi banjir setiap kali musim tengkujuh khususnya di daerah Kemaman.

Katanya pengalaman berdepan banjir besar di Kemaman pada tahun 2013 membolehkan kesemua pihak menumpukan prosedur operasi standard (SOP) mengenai apa yang harus dilakukan sekiranya situasi sama berulang.

“Kita mempunyai pengalaman pada 2013 jadi SOP mengenai apa yang harus dilakukan telah ditentukan bagi mengelak tragedi berkenaan berulang.

“Saya yakin semua agensi kerajaan yang terdiri daripada APM, bomba, polis, pejabat daerah JPS dan MPKK telah bersiap siaga sekiranya bencana seperti 2013 berlaku,” katanya.

Beliau berkata keperluan bekalan bantuan makanan kepada mangsa terjejas juga telah disusun rapi oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Setakat ini tiada sebarang aduan barangan makanan itu tidak mencukupi untuk diagihkan kepada mangsa banjir.

Banjir gelombang kelima yang melanda Terengganu sejak Ahad lalu menyaksikan lebih 13,000 mangsa terjejas.

Menerusi jumlah itu daerah Kemaman yang paling teruk terjejas membabitkan lebih 10,000 mangsa.