BESUT: Pengalaman mengandungkan anak pertama sepatutnya menjadi saat yang paling manis buat semua wanita yang bakal bergelar ibu apatah lagi debaran untuk menantikan kelahiran cahaya mata sulung.

Keadaan itu bagaimanapun mungkin tidak dirasai Nurul Aida Mohd Arifin yang berdepan situasi sebaliknya apabila insiden banjir di Terengganu membuatkan dirinya terkandas di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tembila, Besut.

Bagi wanita lain, meskipun dalam keadaan penuh debar menantikan detik kelahiran, namun segala persiapan pasti telah dirancang sebaiknya sambil tenang menunggu di hospital.

Saat manis itu bagaimanapun tidak memihak kepada Nurul Aida yang kini sedang sarat dengan kandungannya yang berusia sembilan bulan dan hanya menanti hari untuk bersalin pada bila-bila masa walaupun kini terpaksa berlindung di PPS.

Hasrat untuk bersalin di kampung mungkin bertukar menjadi mimpi pahit apabila terpaksa berdepan dengan situasi luar jangkaan itu.

Lebih memilukan, suaminya yang pulang dari Kuala Lumpur juga terkandas di lokasi berasingan susulan keadaan banjir yang memutuskan laluan mereka berdua.

Tidak lagi mampu menahan sebak malah air mata Nurul Aida mula gugur sebaik sahaja ditanyakan mengenai persiapan untuk menimang cahaya mata pertamanya.

“Sedih lah sebab semua kelengkapan untuk anak dah beli tetapi semuanya dah hanyut akibat arus banjir.

“Memang niat nak bersalin di kampung tapi bila dah jadi macam ini (banjir) tak boleh nak buat apa lah… sekarang harapkan pihak berkuasa di PPS untuk sedia andai kata dah sampai masa untuk bersalin.

“Persiapan pun tak banyak cuma sempat bawak satu beg kecil dan hospital terdekat yang ada pun di Jerteh, makan masa sedikit lah dari PPS,” katanya ketika ditemui Astro AWANI pada Rabu.

Kawasan perkampungan kampung di Tembila antara yang teruk terjejas dengan keadaan banjir. - Astro AWANI

Dalam pada itu, Nurul Aida ditemani ibunya, Wan Norma Wan Daud yang turut bersedih apabila mengenangkan nasib keadaan rumah yang telah ditenggelami air.

Bahkan, setiap hari mereka sering memikirkan nasib dan keadaan rumah khususnya apabila telah dibenarkan pulang sebaik sahaja banjir mula reda.

“Tak ada apa yang sempat diselamatkan, barang elektrik semua habis dihanyutkan banjir sebab air pun tinggi hingga paras dada pada masa itu.

“Sekarang bila fikir nak balik, tak tahulah bagaimana keadaan rumah selepas ini bila dah boleh balik nanti sebab barang-barang pun banyak yang dah rosak,” luahnya.

Setakat ini, PPS di SK Tembila menempatkan hampir 400 mangsa dan daripada jumlah itu juga, ia melibatkan seramai 102 keluarga.