KUALA LUMPUR: Operasi membanteras sindiket penipuan dalam talian yang semakin membimbangkan di negara ini akan terus dipertingkatkan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) turut mengarahkan semua bank agar memantau transaksi dan segera menghentikan pengeluaran wang yang mencurigakan.

“Masalah scam ini telah merebak ke seluruh dunia, ada beberapa langkah kerjasama di antara negara untuk mencari kaedah yang lebih berkesan termasuk melalaui Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC).

“Cadangan untuk menambah waktu operasi dipersetujui tetapi saya ingin maklum bahawa Bank Negara telah maklum kepada semua bank supaya operasi pemantauan ini 24 jam dan ada ke arah automation supaya pengadu boleh ambil tindakan hentikan pengeluaran dana dari bank serta-merta. Ini perkembangan baharu yang dilakukan BNM,” katanya.

Sementara itu, beberapa pindaan undang-undang akan dibuat termasuk membabitkan Kanun Tatacara Jenayah supaya wang mangsa penipuan dapat dipulangkan lebih awal dan dikekalkan bon sebagai ganti, sementara kes mahkamah berjalan.

"Sebanyak 3,595 kertas siasatan dibuka bagi kesalahan penipuan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan kerajaan sudah mendapat pulangan daripada rampasan sebanyak RM34.8 juta," katanya.

Beliau menjawab soalan asal Tan Hong Pin (PH-Bakri) di Dewan Rakyat mengenai usaha kerajaan untuk memanjangkan masa operasi NSRC kepada 24 jam bagi membantu mangsa penipuan mendapat bantuan segera.