KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan (MoF) menegaskan bahawa syarat yang dikenakan bagi permohonan bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) adalah sangat minimum dan tidak ketat dalam usaha membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro yang terjejas.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, syarat-syarat yang dikenakan itu juga bagi memastikan tiada ketirisan.

Selain itu, ia bagi memastikan usahawan mikro yang betul-betul layak sahaja mendapat bantuan bagi menghadapi cabaran COVID-19, tambah beliau.

Jelas beliau, setakat ini seramai lebih sejuta usahawan mikro layak menerima GKP 4.0, termasuk hampir 196,000 penerima adalah di Negeri Selangor dengan nilai peruntukan RM1.2 bilion.

"Ingin saya tekankan bahawa syarat itu adalah sangat minima, dan tidak terlalu ketat. Malah pada bulan Julai yang lalu MoF telah membuka permohonan baru GKP 4.0 kepada usahawan mikro yang tidak lulus GKP sebelum ini dan kerajaan membuka permohonan baharu sebanayk empat kali.

"Ia masing-masing PKS mikro perlu berdaftar sebelum 31 Disember 2019 bagi GKP 1.0; 31 Ogos 2020 (GKP 2.0); 28 Februari (GKP 3.0: dan 30 Jun 2021 (GKP 4.0).

"Data penerima GKP adalah berdasarkan data terkini pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM); Pihak Berkuasa Tempatan (PBT); serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)," katanya di pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) yang mahu tahu jumlah peniaga yang mendapat manfaat daripada GKP dan adakah kerajaan boleh mempermudahkan proses permohonan bantuan tersebut selepas syarat GKP didakwa terlalu ketat.

Jelas Tengku Zafrul, Secara keseluruhannya, sejumlah RM6.08 bilion dimanfaatkan oleh lebih sejuta usahawan mikro melalui empat siri bayaran GKP sejak wabak COVID-19 melanda negara.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kerajaan menyalurkan peruntukan kepada GKP 4.0 sebanyak RM500 juta lagi di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Bantuan tersebut akan memberi manfaat kepada lebih sejuta PKS mikro, bagi meringankan beban kewangan mereka dalam mengharungi tempoh yang masih mencabar.

Ia mula dibayar pada 21 September lalu.