MALAYSIA
Bantuan Malaysia bukti solidariti ASEAN, kata Menteri Luar Singapura

Vivian Balakrishnan menyatakan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia dan Oman atas sokongan yang amat bernilai dalam memindahkan rakyat Singapura dari Iran dengan selamat. - Bernama
SINGAPURA: Bantuan Malaysia dalam memindahkan seorang rakyat Singapura dari Iran bukan sahaja mengukuhkan hubungan erat dan berpanjangan antara kedua-dua negara, malah menjadi bukti solidariti ASEAN, kata Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan.
Dalam sepucuk surat kepada rakan sejawatnya dari Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan, Balakrishnan berkata sokongan itu juga merupakan contoh nyata kepentingan Garis Panduan ASEAN mengenai Bantuan Konsul untuk Negara Anggota dalam usaha bersama untuk membantu rakyat masing-masing.
"Waktu sukar mendedahkan siapa sahabat sejati. Kami amat menghargai kesediaan kerajaan anda untuk menghulurkan bantuan ketika krisis," tulisnya dalam surat itu.
Salinan surat itu turut dikongsi Balakrishnan di laman Facebook beliau pada Isnin, dan beliau juga menyatakan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia dan Oman atas sokongan yang amat bernilai dalam memindahkan rakyat Singapura dari Iran dengan selamat.Dalam surat itu, beliau memaklumkan bahawa tindakan pantas dan profesional oleh Bahagian Konsul Kementerian Luar serta Kedutaan Besar Malaysia di Tehran dan Ashgabat telah membolehkan Singapura melaksanakan pelan pemindahan dalam keadaan yang mencabar.
"Bantuan segera mereka, terutamanya dalam mendapatkan penginapan, pengangkutan dan permit masuk ke Turkmenistan, amat penting dalam memastikan keselamatan rakyat kami," katanya.
Sementara itu, Balakrishnan turut menulis surat berasingan kepada Menteri Luar Oman Badr bin Hamad al-Busaidi untuk menyampaikan penghargaan atas bantuan pantas dan berkesan negara itu.
Beliau berkata Singapura terus bimbang terhadap peningkatan ketegangan di Timur Tengah, dan pelbagai usaha pengantaraan termasuk oleh Al-Busaidi adalah penting untuk mengurangkan ketegangan.
Terdahulu, Kerajaan Singapura merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia dan Oman kerana membantu memudahkan kepulangan rakyatnya dari Iran dengan selamat.
Dalam satu kenyataan, jurucakap Kementerian Luar Singapura berkata seorang rakyat Singapura dipindahkan dari Iran ke Ashgabat, Turkmenistan bersama sekumpulan rakyat Malaysia dan warga asing lain dengan bantuan Kerajaan Malaysia, manakala sebuah keluarga tiga rakyat Singapura dipindahkan dari Tehran ke Muscat, Oman dengan bantuan Kerajaan Oman.
Singapura tidak mempunyai perwakilan diplomatik di Iran.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami