KUALA LUMPUR: Bantuan segera akan diberikan kepada semua peniaga yang terjejas akibat kebakaran di Pasar Dato Keramat pada Rabu, kata  Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Rina Harun.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, kaunter pendaftaran akan dibuka di pusat khidmat di kawasannya itu pada Khamis bagi mendapatkan maklumat lengkap semua peniaga.

“Selain daripada wang ihsan, esok (Khamis) Pusat Khidmat Parlimen Titiwangsa akan buka kaunter pendaftaran untuk mendapatkan maklumat lengkap daripada peniaga yang terjejas.

“Kita juga pada malam ini bersama wakil agensi kerajaan pusat seperti TEKUN Nasional selain Baitulmal melihat apa bentuk bantuan boleh diberikan kepada mangsa terlibat,” katanya ketika mengadakan lawatan di lokasi kebakaran pada malam Rabu.


Kebakaran | Gerai di Pasar Keramat

BACA: 46 gerai di Pasar Dato Keramat terbakar

BACA: Kebakaran Pasar Dato Keramat mungkin berpunca daripada litar pintas - Peniaga

BACA: Kebakaran Pasar Dato Keramat: 'Api dari belakang kedai' - Peniaga


Tambah Rina, laporan polis juga akan dibuat berhubung kejadian itu bagi memastikan siasatan secara telus dapat dijalankan dalam mengenal pasti punca kebakaran.

“Esok (Khamis) jam 10 pagi kita akan buka kaunter pendaftaran di pejabat persatuan penjaja (pasar berkenaan) untuk mendapatkan maklumat (daripada peniaga bagi membantu siasatan)... juga laporan polis akan dibuat.

“Tentang pembangunan (semula) kedai ini, kita akan bincang dengan pihak berkuasa dan pihak pemaju. Perkara ini saya akan bawa kepada Kementerian Wilayah Persekutuan,” ujarnya lagi.

Terdahulu, 46 deretan kedai Pasar Dato Keramat musnah dijilat api dalam kebakaran kira-kira jam 5.26 petang itu. Api bagaimanapun berjaya dipadamkan kira-kira sejam kemudian.