Sebanyak RM400,000 sumbangan diperlukan bagi menampung kos rawatan dan membawa pulang bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Ab Rahim Ismail, 62, yang masih koma di Pamukkale Hospital University, Denizle, Turki sejak 15 Julai lepas.

Perkongsian maklumat ini dibuat Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, iaitu ayah kepada bayi yang menghidap kanser mulut 'Germ Cell Tumor', Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin di laman Facebook peribadinya yang turut menyertakan poster berkaitan maklumat sumbangan itu, lewat Rabu.

"Perbelanjaan untuk membawa pulang dan baki kos rawatan yang sedang berjalan di sana sekarang adalah sebanyak RM400,000.

"Saya harap, kita semua dapat membantu seorang sedikit dalam usaha membawa Prof Ab Rahim yang ketika ini diuji supaya dapat pulang dan dirawat di Malaysia.

"Saya bantu berkongsi hantaran Facebook ini sebab dahulu ramai orang telah membantu menjayakan proses rawatan Ainul Mardhiah. Kini, giliran saya pula berbakti sekadar kemampuan saya kepada orang yang memerlukan.

"Anda boleh share post ini ya! Terima kasih tuan puan semua. Insha-Allah, perbuatan baik kita pada hari ini, Allah akan memberi ganjaran yang setimpal kepada kita, jika tidak di dunia, pasti di akhirat kelak. #Sila Share," tulis Safiuddin.


Menurut laporan media tempatan yang memetik kenyataan menantu pensyarah itu, Muhamad Fikri Aziz, 33, Ab Rahim terbang ke Turki bagi menghadiri jemputan khas satu majlis konvokesyen di sana dan selepas urusan rasmi berkaitan majlis itu tamat, Ab Rahim makan angin di sekitar Denizle.

Menurutnya, ketika bersiar-siar, Ab Rahim tiba-tiba terkena serangan jantung dan rebah sehingga kepalanya terhentak di atas lantai yang menyebabkan kecederaan di bahagian otaknya.

Rakyat Malaysia yang ingin menyalurkan bantuan boleh berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank di nombor akaun 512268522574 milik Muhamad Fikri yang bertindak sebagai pemegang amanah.

Sebarang pertanyaan mengenai sumbangan ini boleh berhubung dengan Muhamad Fikri di talian 016-6190395 atau Nadhila Ab Rahim di talian 012-3516317.

-- BERNAMA