Pasangan bapa dan anak warga Australia maut selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas dan melanggar sebuah kenderaan lain di Kilometer 3.6 Lebuhraya Sultan Iskandar berhampiran Horizon Hills, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Noor Hashim Mohamad berkata mangsa adalah Troy Justin Youngnickel, 45, yang bekerja sebagai pengarah projek reka bentuk dan anak lelakinya, Jai Geofrey Roy Youngnickel, 4.

"Kemalangan berlaku kira-kira 12.50 tengah hari ketika Youngnickel dan anaknya itu sedang dalam perjalanan dari arah bandar raya ini menuju ke arah Kota Iskandar.

"Dipercayai kenderaan Toyota Hilux dipandu Youngnickel terbabas dan melanggar besi penghadang jalan lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar sebuah Toyota Vellfire," katanya di sini hari ini.

Noor Hashim berkata kedua-dua beranak yang beralamat di Jalan East Ledang, Iskandar Puteri, di sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di badan kerana tersepit di dalam kenderaan.

Beliau berkata pemandu Toyota Vellfire, Muhd Hafifi Hafiz Abu, 31, dan penumpangnya, Liew Sun Wen, 18, yang merupakan seorang pelajar, mengalami cedera ringan dan dirawat di Hospital Sultanah Aminah, di sini.

Katanya mayat dua beranak itu turut dibawa ke hospital sama untuk bedah siasat.

"Toyota Hilux itu mengalami kerosakan pada keseluruhan bahagian manakala Toyota Vellfire pula hanya rosak di bahagian hadapan.

"Kemalangan berlaku ketika hujan, namun, tiada sebarang kekeliruan tanda jalan," katanya.

Menurut Noor Hashim kemalangan terbabit sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA