Tindakan pantas pasukan bomba berjaya menggagalkan cubaan nekad seorang bapa untuk meletupkan diri bersama dua anaknya di dalam kediaman mereka di Sitiawan tengah hari ini.

Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Tawar yang bertindak daripada maklumat awam berjaya memujuk lelaki itu dalam kejadian di Kampung Jering, dekat sini.

Menurut laporan, bomba menerima panggilan kira-kira jam 12.30 tengah hari mengenai seorang lelaki yang mengurung dua anaknya berumur 7 dan 8 tahun di dalam rumah mereka.

Lelaki itu dipercayai membuka injap tabung gas petroleum cecair (LPG) untuk membakar rumah itu.

Bagaimanapun, anggota bomba berjaya memujuk lelaki itu dan menyelamatkan anak-anaknya selepas memasuki rumah dengan mengumpil pintu belakang.

Operasi yang diketuai PBK 1 Azlan Mahayiddin tamat jam 12.55 dan lelaki itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.