Seorang bapa maut manakala isteri dan dua anaknya cedera apabila kereta yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan di jalan Bukit Putus, Kuala Pilah dekat sini, kira-kira pukul 6.40 pagi tadi.

Dalam kemalangan yang melibatkan empat buah kereta iaitu dua buah Honda City, Proton Wira dan Proton Saga itu, seramai empat lagi mangsa turut dilaporkan cedera.

Anak sulung mangsa Muhammad Hafez Mohd Yatim, 26, berkata bapanya Mohamed Yatim Juraimi, 61, ibu dan dua adiknya itu dalam perjalanan pulang ke kampung di Juasseh dari rumah mereka di Taman Semarak, Nilai untuk menyambut lebaran esok, namun tidak menyangka akhir Ramadan ini akan menjadi tragedi hitam buatnya sekeluarga.

"Saya memang tidak ikut keluarga pulang beraya sebab saya bekerja dan habis shift pukul 11 pagi tadi, kalau ikut perancangan saya akan pulang ke kampung tengah hari ini selepas habis shift dan masuk bekerja semula tengah malam ini, kemudian saya akan pulang ke kampung semula untuk berhari raya pada raya kedua," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar di sini, hari ini.

Beliau yang mengetahui mengenai kejadian kira-kira pukul 7 pagi tadi berkata semasa kejadian dua adiknya cuba menyelamatkan bapanya yang tersepit namun gagal.

"Saya dimaklumkan kereta dipandu ayah bertembung dengan kereta dari arah bertentangan dan semasa kejadian mak duduk di tempat duduk belakang manakala adik saya seorang di depan dan seorang lagi duduk di belakang.

"Mereka cuba selamatkan ayah tetapi sebab kaki ayah tersepit mereka gagal keluarkan ayah dari kereta," katanya.

Muhammad Hafez yang bekerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur berkata kali terakhir dia berjumpa ayahnya sewaktu berbuka semalam dan langsung tidak menyangka itu adalah pertemuan terakhir.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seri Menanti Mohd Fauzi Shamir berkata isteri dan dua anak mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar untuk rawatan lanjut manakala empat lagi mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah.

--BERNAMA