MELAKA: Seorang penunggang motosikal dan anaknya cedera parah dalam kemalangan melibatkan 10 kenderaan di Lebuh AMJ (Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin) di Cheng di sini malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka Superintenden Muhammad Zaki Ramat berkata kemalangan kira-kira 9 malam itu membabitkan tujuh kereta, sebuah lori, sebuah pacuan empat roda dan sebuah motosikal Honda Dash yang dinaiki dua beranak berkenaan.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Toyota Hilux yang dipandu dari arah Malim menghala ke Cheng dipercayai hilang kawalan dan merempuh beberapa kenderaan yang sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat, termasuk motosikal yang dinaiki dua beranak itu.
“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal lelaki berusia 39 tahun mengalami patah kaki manakala anak lelakinya berusia 11 tahun cedera pada bahagian kepala dan telah diintubasi. Pemandu Toyota Hilux yang juga lelaki berusia 29 tahun pula mengalami kecederaan ringan pada bahagian muka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Muhammad Zaki berkata kesemua mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Beliau berkata ujian saringan dadah dan pernafasan alkohol yang dilakukan ke atas pemandu Toyota Hilux itu adalah negatif namun sampel darah turut diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia Melaka bagi tujuan ujian toksikologi.
Menurut Muhammad Zaki, kesemua kenderaan yang terlibat akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer di Alor Gajah untuk pemeriksaan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Rakaman kamera papan pemuka yang merekodkan kemalangan itu telah diperoleh dan akan dijadikan sebagai sebahagian daripada bahan siasatan,” katanya.
-- BERNAMA