TELUK INTAN: Polis menahan sepasang suami isteri berusia 23 dan 24 tahun yang baru melangsungkan perkahwinan semalam berdekatan parkir sebuah masjid di Chikus, Langkap di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kedua-dua mereka ditahan ketika berada dalam sebuah kereta pada jam 12.30 tengah hari tadi.

Katanya, serbuan dilakukan pasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Hilir Perak itu menemukan beg pakaian mengandungi 20 bungkusan plastik berisi bahan disyaki dadah heroin seberat 9.268 kilogram.

Ahmad Adnan berkata, difahamkan kedua-dua suspek sedang menunggu pembeli di kawasan parkir tersebut, sebelum ditahan polis.

"Tangkapan melibatkan sepasang suami isteri berumur 23 dan 24 masing-masing yang baru melangsungkan perkahwinan semalam (24 April).

"Kedua-dua suspek juga positif dadah jenis methamphetamine.

"Mereka beralamat di Teluk Intan dan kedua- duanya tidak berkerja. Rampasan dipercayai untuk diedarkan ke luar daerah Hilir Perak.

"Jumlah rampasan boleh menampung keperluan hampir 10,000 penagih," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, kedua-dua suspek akan direman esok bagi siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.