Jumlah pengguna Bas Muafakat Johor (BMJ) dijangka akan meningkat selari dengan perluasan dan permintaan yang tinggi daripada masyarakat terhadap perkhidmatan bas percuma itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) Abdul Rahman Salleh berkata sehingga kini 2.43 juta pengguna telah berdaftar dan menggunakan khidmat BMJ.

"Sejak BMJ mula diperkenalkan pada 1 April tahun lalu, jumlah pengguna kita sehingga Disember adalah seramai 1.34 juta orang dan sehingga kini jumlah tersebut telah bertambah menjadi 2.43 juta orang.

Peningkatan ini selaras dengan tujuan BMJ ditubuhkan iaitu mengurangkan beban rakyat dan menggalakkan lebih ramai masyarakat kita menggunakan pengangkutan awam sebagai mod utama pilihan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pelancaran perluasan BMJ di Pasir Gudang oleh Anggota Parlimen Pasir Gudang Datuk Normala Abdul Samad, di sini pada Jumaat.

Abdul Rahman berkata perluasan perkhidmatan BMJ bakal memberikan manfaat kepada semua pengguna pengangkutan bas awam di Johor.

"Perkhidmatan BMJ ini kita perluaskan lagi dengan penambahan 11 laluan yang baharu di dalam Wilayah Iskandar Malaysia dan 20 lagi laluan baharu di luar Wilayah Iskandar.

Laluan BMJ yang sedia ada di Wilayah Iskandar pada tahun lalu adalah sebanyak 15 laluan. Dengan penambahan ini jumlah keseluruhan laluan adalah sebanyak 46 laluan dengan jumlah BMJ sebanyak 80 buah," katanya.

Antara laluan baharu berkenaan adalah Terminal Ulu Tiram-Jalan Jim Quee, Terminal Johor Jaya-Terminal JB Sentral, Terminal Taman Universiti-Terminal Larkin, Terminal Gelang Patah-Terminal Universiti, Terminal JB Sentral-Terminal Pasir Gudang, Kampung Felda Sungai Tiram-Terminal Ulu Tiram dan Terminal Larkin-Terminal Kulai.

Orang ramai boleh menikmati perkhidmatan BMJ dengan bayaran keahlian sebanyak RM5 ringgit bagi individu yang berumur tujuh hingga 17 tahun, warga emas berusia 60 tahun ke atas dan pemegang kad Orang Kelainan Upaya (OKU).

Bagi individu yang berusia 18 hingga 59 tahun pula akan dikenakan bayaran keahlian sebanyak RM10.

Untuk maklumat lebih lanjut orang ramai boleh melayari laman sosial Facebook Perbadanan Pengangkutan Awam Johor.

-- BERNAMA