Susulan tindakan Majlis Syura Ulama Pas semalam yang membatalkan tahaluf siyasi dengan PKR, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini meluahkan rasa kecewanya.

"Saya kecewa dengan keputusan itu memandangkan sejak 2008, banyak yang telah kami lakukan untuk Selangor bersama PAS," kata Azmin yang juga Menteri Besar Selangor.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan mesyuarat dengan anggota Exco negeri daripada Pas pagi tadi.

Mesyuarat itu diadakan bagi mendengar penjelasan serta penerangan daripada mereka berhubung keputusan parti Islam itu.

Mengumumkan keputusan itu, Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh berkata semalam, apa saja keputusan politik termasuk urusan di Selangor akan diserahkan kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

Dalam kenyataannya, beliau menjelaskan: “Dengan merujuk kepada begitu banyak pelanggaran terhadap syarat-syarat Tahaluf Siyasi menurut pertimbangan hukum Syarak dan Akhlak Islam, maka hubungan politik Tahaluf Siyasi antara Pas dan PKR telah terbatal."