Aktivis Hishamuddin Rais telah ditahan polis polis pada jam 2.30 petang tadi di kediamannya di Taman Seputeh, Kuala Lumpur.

Menurut peguamnya Sivamalar Genapathy, Hishammuddin ditahan di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan berkaitan mengadakan perhimpunan haram.

Dia kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

"Setakat ini, pegawai penyiasat masih belum mengambil kenyataan beliau. Saya juga masih tidak pasti jika Hishamuddin akan ditahan malam ini untuk pendengaran reman esok atau beliau akan dibebaskan hari ini setelah kenyataan diambil. Ini semua saya tidak pasti lagi," katanya kepada Astro AWANI.


Sivamalar juga memaklumkan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli turut ditahan bersama Hishamuddin di IPD Dang Wangi.

"Rafizi berada di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur sebelum dibawa ke IPD Dang Wangi untuk diambil kenyataannya.

“Beliau ditahan di bawah Seksyen 141 dan 143 Kanun Keseksaan. Beliau turut ditahan di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan,” tambahnya.

Semalam, dianggarkan lebih 10,000 peserta berhimpun pada Hari Pekerja di hadapan bangunan KLCC bagi menyatakan bantahan terhadap pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Perhimpunan yang dinamakan perhimpunan #BatalGST itu dianjurkan kumpulan dari NGO Jawatankuasa Mei 1 dan bermula di beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur termasuk Pasar Seni, Masjid Jamek, Sogo, Dataran Merdeka dan Masjid Negara sekitar jam 2.30 petang sebelum berarak menuju dan berhimpun di KLCC.

Perhimpunan itu tamat sekitar jam 5.30 petang.