Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan sembilan kakitangan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang kerana disyaki bersubahat dengan aktiviti perlombongan bauksit secara haram.

SPRM dalam kenyataan medianya di sini hari ini berkata, pegawai Kastam berusia 56 tahun itu ditahan pada 12.15 tengah malam tadi dan direman selama tujuh hari bermula hari ini.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.

Sembilan lagi kakitangan PTG Pahang yang berusia antara 39 hingga 59 tahun pula ditahan antara 3.30 petang hingga 3.45 petang tadi, di beberapa lokasi di sekitar daerah ini.

"SPRM turut menyerbu pejabat PTG Pahang, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja serta Pelabuhan Kuantan bagi merampas beberapa dokumen berkaitan.

"Selain itu, SPRM telah menahan 18 buah lori yang sedang mengangkut bauksit dari lombong-lombong haram di sekitar Bukit Goh dan Bukit Sagu tengah malam tadi," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menambah operasi terbabit diadakan selepas aktiviti perlombongan bauksit masih berjalan secara haram walaupun kerajaan mengenakan perintah moratorium sejak 15 Jan 2016, yang sepatutnya tamat pada 31 Dis ini.

Pengarah Bahagian Perisikan SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahya semasa dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata SPRM telah memantau kegiatan sindiket itu sejak beberapa bulan yang lepas.

-- BERNAMA