GEORGE TOWN: Pembayaran secara dalam talian bagi Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) akan diumumkan selepas pelaksanaan Bukti Konsep (POC) mengenainya selesai, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata perkara itu bagi memastikan sistem aplikasi MyJPJ berupaya untuk menampung trafik digital dan sistem tersebut tidak ranap setelah ia dilancarkan kelak.

"Dalam beberapa bulan lagi, kami akan lancarkan sistem pembayaran secara online ini melalui aplikasi MyJPJ," katanya kepada media selepas majlis pecah tanah pembinaan bangunan baharu Kolej Universiti Komunikasi Han Chiang, di sini hari ini.

Beliau turut berkata pelancaran mod paparan digital iaitu Lesen Kenderaan Motor digital (e-LKM) dan Lesen Memandu Malaysia digital (e-LMM) pada 10 Feb lepas adalah untuk mengurangkan kesesakan di pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Memandangkan ia akan mengambil masa bagi rakyat menyesuaikan diri, maka permohonan lesen dan cukai jalan secara digital atau fizikal atau kedua-duanya sekali masih diadakan," katanya.

Mengulas video tular mengenai dua warga Malaysia yang disaman di Thailand semalam, beliau berkata saman tersebut tertakluk kepada undang-undang tempatan di negara tersebut.

Loke menjelaskan penggunaan lesen digital hanya berkuat kuasa di negara ini dan pihaknya tidak mempunyai bidang kuasa dalam menentukan cara pelaksanaan penguatkuasaan pengangkutan dan undang-undang di negara lain.

"Kami sudah nyatakan tiada pemberhentian pemberian lesen fizikal kepada pemandu, jadi kalau mereka memandu di luar negara di mana negara itu perlukan lesen fizikal, maka mereka boleh mengambil lesen fizikal daripada JPJ masa perbaharui lesen," katanya.

Media tempatan melaporkan dua warga Malaysia disaman oleh penguat kuasa Thailand setelah menunjukkan lesen memandu digital selepas ditahan ketika menunggang motosikal di sebuah daerah di negara terbabit.

-- BERNAMA