Skip to main content

Sukan

Jangan label pemain badminton tiada peluang sebelum saingan Sukan Asia - Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 16 Mei -- Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz ketika menyampaikan ucapan pada Klinik Kejurulatihan Badminton TZA x Kelab Badminton Ampang Jaya hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Tengku Zafrul berkata keutamaan ketika ini adalah memberikan sokongan kepada pemain yang bakal menggalas cabaran Malaysia pada temasya sukan terbesar Asia berkenaan. - Foto fail/BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mahu pemain badminton negara diberi peluang membuktikan kemampuan pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, bukannya dilabel sebagai tidak berpeluang sebelum pertandingan bermula.

Beliau berkata demikian menerusi komen balas terhadap hantaran Instagram sebuah akhbar tempatan yang memetik pandangan bekas pengarah kejurulatihan kebangsaan Datuk Misbun Sidek bahawa pemain negara ke temasya itu sekadar menjadi peserta dan bukannya pencabar pingat emas.

Sambil mengakui sumbangan besar legenda badminton negara itu terhadap arena badminton tanah air, Tengku Zafrul berkata keutamaan ketika ini adalah memberikan sokongan kepada pemain yang bakal menggalas cabaran Malaysia pada temasya sukan terbesar Asia berkenaan.

“Saya menghormati Coach Misbun dan segala sumbangan yang telah dicurahkan kepada badminton Malaysia. Namun, inilah masanya untuk kita menyokong pemain negara, bukannya menganggap mereka tidak berpeluang sebelum pertandingan bermula.

“Biarlah mereka memberikan tumpuan, bersaing dan melakukan yang terbaik untuk Malaysia,” katanya.

Media pada Khamis melaporkan bahawa Misbun mempersoalkan tahap persiapan skuad negara menjelang temasya berkenaan, selain berpandangan bahawa pemain negara masih belum mencapai tahap yang sepatutnya untuk menghadapi saingan itu.

Sebagai rekod, Malaysia kali terakhir memenangi pingat emas badminton di Sukan Asia menerusi beregu lelaki Koo Kien Keat-Tan Boon Heong pada edisi 2006 di Doha, Qatar.

Malaysia akan memulakan kempen dalam acara berpasukan lelaki Ahad ini, manakala acara individu dijadualkan bermula pada 25 Sept.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement