GERIK: Sepasang bayi kembar selamat dilahirkan dalam sebuah bot ambulans ketika melalui Tasik Banding untuk ke hospital di Gerik pada Sabtu lepas.

Kelahiran dua bayi berkenaan disambut oleh pegawai perubatan, jururawat masyarakat dan penolong perawatan kesihatan Klinik Pos Kemar.

Menurut Jabatan Kesihatan Perak dalam laman Facebook rasmi pada Selasa, kejadian itu berlaku sewaktu usaha membawa seorang wanita Orang Asli dengan usia kandungan 35 minggu ke Hospital Gerik.

Wanita berusia 31 tahun itu mengalami sakit hendak bersalin ketika pemeriksaan dilakukan oleh jururawat masyarakat yang membuat lawatan ke rumahnya.

"Dengan tindakan pantas anggota kesihatan, ibu tersebut selamat melahirkan bayi kembar dengan berat 2.4 dan 1.3 kilogram.

"Kesemua mereka dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh bagi menjalani rawatan susulan," kata kenyataan itu tanpa menyebut menyatakan jantina bayi kembar berkenaan.

Proses kelahiran itu dianggap satu detik bersejarah buat anggota kesihatan terlibat kerana dilakukan dalam keadaan bot yang sedang bergerak tanpa peralatan lengkap.

Untuk rekod, Pos Kemar merupakan sebuah penempatan Orang Asli di kawasan Gerik dan penduduk menggunakan bot sebagai pengangkutan utama untuk keluar masuk.

Perjalanan dari perkampungan itu untuk ke Hospital Gerik mengambil masa hampir dua jam menggunakan laluan air dan darat.