KUALA LUMPUR: Seorang bayi lelaki yang masih hidup ditemukan dalam sebuah beg di hadapan di sebuah rumah di Kampung Sungai Penchala, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), di sini, pada Khamis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superitendan Basri Sagoni berkata, polis menerima laporan mengenai penemuan itu daripada orang awam kira-kira pukul 9.15 pagi dan segera menghantar anggota ke lokasi kejadian.

"Apabila sampai di tempat kejadian, polis mendapati seorang bayi lelaki yang cukup sifat, dipercayai baru dilahirkan di dalam sebuah beg plastik," katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.








Mengulas lanjut, Basri turut menjelaskan pihaknya telah membuat semakan ke atas pemilik rumah.

Ketika ini katanya, bayi itu dihantar ke Hospital Wanita dan Kanak-kanak Kuala Lumpur bagi tujuan pemeriksaan kesihatan.

Beliau memberitahu, kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran yang memperuntukan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Katanya, polis sedang giat menyiasat lanjut kes itu untuk mengenal pasti individu yang bertanggungjawab membuang bayi berkenaan.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penemuan bayi itu supaya menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.